Course Synopsis
Kursus ini adalah mengenai kemajuan dan perkembangan negara Malaysia dalam konteks pembangunan sosial, politik dan ekonomi. Perbincangan dalam kursus ini merangkumi pelbagai disiplin ilmu sains sosial, yang meliputi ilmu sosiologi, sains politik, sejarah, hubungan antarabangsa dan isu-isu global. Perbincangan juga menyentuh isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum dalam usaha mewujudkan negara maju dan membentuk masyarakat yang harmoni berdasarkan acuan Malaysia.
Nama pensyarah: Dr Mohd Nasir bin Masroom
Karangan
PERANAN MAHASISWA DALAM MEMBENTUK
MASYARAKAT MALAYSIA YANG HARMONI
Dalam sesebuah negara, perpaduan adalah satu keutamaan yang diberi perhatian dalam membentuk sebuah negara aman dan harmoni yang dihuni oleh masyarakat teridiri daripada pelbagai kaum dan agama. Bagi negara Malaysia sendiri, perpaduan antara rakyat merupakan antara tumpuan penting demi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Untuk makluman, banyak negara di serata dunia mencontohi Malaysia sebagai negara yang dihuni masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya dengan keharmonian dan kemakmuran. Dalam konteks membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni, banyak pihak yang mampu menyumbang dalam usaha ini antaranya pekerja kerajaan atau swasta, mahasiwa universiti dan tidak lupa setiap rakyat Malaysia. Bagi negara yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum, isu perbalahan kaum menjadi isu utama yang mungkin berlaku dalam negara tersebut. Menjadi tanggungjawab bagi generasi muda seperti mahasiswa dalam membantu negara menangani isu ini demi masa depan negara yang cerah.
Antara peranan mahasiswa dalam membentuk masyarakat yang harmoni ialah mengamalkan sikap saling menghormati antara satu sama lain. Bagi kehidupan seorang mahasiswa, adalah penting sikap ini diterapkan dalam diri kerana mahasiswa bertemu dan berurus dengan mahasiswa lain atau pensyarah yang terdiri dari pelbagai kaum. Secara tidak langsung, apabila seseorang mahasiswa menunjukkan sikap positif ini terhadap orang lain, ia mampu mewujudkan kesedaran bahawa pentingnya sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, apabila mahasiswa yang berbeza agama dan budaya bekerjasama dalam sesuatu kerja dan saling menghormati antara satu sama lain mendapatkan suasana kerja yang aman dan tenang. Seterusnya, kerja yang dilakukan dapat disiapkan dengan baik apabila komunikasi yang baik dan penuh hormat dijalinkan antara mahasiswa. Tidak lupa juga, mahasiswa akan sentiasa mengamalkan sikap menghormati terhadap orang lain seterusnya merebak seperti virus tapi kali ini, dalam aspek positif.
Selain itu, mahasiswa juga berperanan mengelakkan isu perkauman dan keagamaan dalam diri setiap mahasiswa. Malaysia ialah negara yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum dan pernah menghadapi konflik perkauman yang menggemparkan negara iaitu peristiwa 13 Mei 1969. Jadi, adalah satu usaha yang besar bagi rakyat untuk mengelakkan peristiwa sebegini berlaku sekali lagi di negara kita. Mahasiswa yang belajar di universiti perlu didedahkan dengan kesan atau betapa besarnya impak isu perkauman kepada negara. Untuk mengelakkan isu ini berlaku di dalam universiti, program serta apa jua aktiviti yang berlangsung perlulah tidak mengasingkan kaum yang mampu mendatangkan perselisihan faham. Sebagai contoh, pada hari perayaan mana-mana bangsa, boleh diadakan satu sambutan hari perayaan yang melibatkan mahasiswa daripada kaum yang lain juga untuk bersama-sama menggayakan pakaian tradisional, menjamu makanan tradisional serta mengenali budaya bangsa tersebut dengan lebih dalam. Langkah efektif kedua yang boleh diambil adalah melalui medium sukan. Ini kerana, sukan mampu menyatukan semua mahasiswa kerana semua kaum boleh bersama-sama dalam gelanggang atau sebagai penyokong pasukan.
Di samping itu, Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa komunikasi utama antara mahasiswa boleh diusahakan. Sejak dahulu lagi, Bahasa Melayu sudah digunakan sebagai bahasa rasmi oleh semua kaum di Malaysia. Mengikut peredaran masa, Bahasa Melayu sendiri kemudiannya ditetapkan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Di universiti, mungkin Bahasa Melayu mungkin tidak dapat ditetapkan sebagai bahasa pengantar dengan adanya mahasiswa antarabangsa bagi sesetengah universiti namun, masih boleh dijadikan sebagai bahasa komunikasi utama antara mahasiswa lokal. Oleh itu, mahasiswa lokak sepatutnya menggunakan Bahasa Melayu supaya dapat menarik minat mempelajari Bahasa Melayu. Mahasiswa zaman kini yang makin arif dengan teknologi boleh menggunakan kelebihan itu untuk memaanfaatkan Bahsa Melayu di laman Internet supaya dapat dipelajari oleh rakyat di segenap dunia. Dengan penggunaan ini, komunikasi dua hala menggunakan satu bahasa yang sama dan difahami mewujudkan persefahaman dan seterusnya perpaduan dan rasa harmoni antara mahasiswa berbilang kaum.
Peranan mahasiswa dalam membentuk masyarakat Malaysia harmoni yang seterusnya ialah menjadi mahasiswa yang bijak, beradab serta berpersonaliti positif. Mahasiswa menuntut pelajaran di universiti dan bakal menjadi seorang insan berilmu yang mengamalkan segala ilmu yang ditimba sepanjang pengajian serta kemahiran sosial yang dipelajari di dunia luar. Mahasiswa yang berpesonaliti positif ini menghindarkan diri sikap negatif seperti hasad dengki dan bersangka buruk terhadap orang lain. Sikap negatif ini mampu membawa kepada perselisihan faham dan perpecahan kaum khusunya apabila berlaku situasi antara mahasiswa yang berlainan kaum. Apabila kita menerapkan hanya sifat positif dalam diri, semua mahasiswa dapat bekerjasama serta saling tolong menolong samada dalam sektor pelajaran atau program seterusnya meningkatkan perpaduan antara satu sama lain.
Akhir sekali, peranan mahasiswa yang paling utama ialah menimbulkan kesedaran tentang semangat nasionalisme dalam diri. Ini kerana, semangat nasionalisme yang kita terapkan ini akan membawa kita mendalami akan pentingnya mengekalkan perpaduan antara masyarakat Malaysia. Langkah kesedaran yang boleh diambil ialah mengadakan kempen atau pameran tentang negara kita di dalam kawasan universiti yang khusunya untuk mahasiswa. Dalam merancang untuk mengadakan program-program ini juga, kita boleh mewujudkan perpaduan antara mahasiswa yang berbilang kaum.
Selepas merdekanya negara kita dari jajahan, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk mempertahankan keamanan dan keharmonian negara dengan mengekalkan perpaduan antara rakyat. Seperti yang kita tahu, generasi muda atau bagi mereka yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti dipanggil mahasiswa memainkan peranan penting bagi sesebuah negara untuk membangun. Kesimpulannya, perpaduan dalam kalangan generasi muda perlulah disemai dahulu dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni dan seterusnya hidup dalam negara dengan aman dan damai.
RUJUKAN
- BH Online, Isnin, 20 Ogos 2018 https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/08/463994/mahasiswa-bijak-beradab-bentuk-masa-depan-gemilang
- https://spmbmkertas2.blogspot.com/2013/10/rumusan-usaha-untuk-memupuk-perpaduan.html
- BH Online, Isnin, 9 September 2019 https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/605018/perpaduan-kaum-di-malaysia-perlu-terus-utuh
- http://amsn96.blogspot.com/2017/01/peranan-pelajar-dalam-mewujudkan.html
- http://www.academia.edu/7967819/Kepentingan_Perpaduan_Kaum
Kempen #AnakMalaysia
Kami diminta untuk menganjurkan sebuah kempen dengan tema kemerdekaan negara tahun ni iaitu Sayangi Negaraku, Malaysia Bersih. Sub tema yang diterapkan ialah perpaduan dan keharmonian kaum, integrasi nasional dan dialog patriotik. Kumpulan 6 menganjurkan kempen dengan nama #AnakMalaysia.
R e f l e c t i o n
Daripada subjek ini, saya dapat mengenali negara kita iaitu Malaysia dengan lebih mendalam. Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh masyarakat yang berbilang kaum. Jadi adalah satu kewajipan untuk rakyat memupuk sifat patriotisme cinta akan negara supaya mengelakkan sebarang perselisihan faham yang boleh mewujudkan perbalahan kaum.
Kempen #AnakMalaysia bertujuan untuk memupukkan dan menyemarakka semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa. Melalui kempen yang dijalankan, kumpulan kami dapat menyimpulkan bahawa kerjasama dan toleransi antara sesama manusia adalah sangat penting. Untuk menjayakan idea-idea yang telah dibincang bersama kepada sebuah kempen dan mencapai objektif program memerlukan komitmen setiap ahli kumpulan. Kesannya, kempen kami dijalankan dengan jayanya dengan bantuan mahasiswa yang sanggup meluangkan masa bersama.