CREATIVE AND CRITICAL THINKING
PEMIKIRAN KRITIKAL DAN KREATIF
Pemikiran kritikal bermaksud membuat pertimbangan yang beralasan, logik dan difikirkan dengan baik. Ia adalah satu cara berfikir di mana kita tidak hanya menerima semua hujah dan kesimpulan yang didedahkan tetapi sebaliknya kita mempunyai sikap yang melibatkan dengan mempersoalkan hujah dan kesimpulan tersebut. Ia memerlukan keinginan untuk melihat apa bukti yang terlibat untuk menyokong hujah atau kesimpulan tertentu. Sebagai contoh, seseorang yang menggunakan pemikiran kritikal adalah orang yang mengatakan perkara seperti “Bagaimana anda tahu itu?” , “Adakah kesimpulan ini berdasarkan keterangan atau perasaan khusus?” dan “Adakah terdapat kemungkinan alternatif apabila diberi maklumat baru?”. (DeLecce, 2018)
Maksud kepada pemikiran kreatif adalah mencari sesuatu dengan cara yang baru atau dapat didefinisikan sebagai “pemikiran di luar kotak”. Pemikiran kreatif adalah kemampuan untuk berfikir secara berlainan agar dapat melihat masalah daripada sudut dan perspektif yang baru. Ia akan membolehkan kita untuk mencari penyelesaian baru dengan melibatkan pendekatan yang lebih santai dan terbuka. Sebagai contoh, kemahiran berfikir kreatif melibatkan pendekatan seperti mencari banyak jawapan yang mungkin dan bukannya satu. (Rawlinson, 2017)
Kemahiran berfikir secara kritikal adalah penting terutamanya dalam diri kita yang bergelar mahasiswa di universiti. Terdapat pelbagai kepentingan apabila kita berfikir secara kritikal antaranya ketika kuliah, kita perlu memahami topik yang sedang dipelajari supaya kita dapat menganalisis dengan lebih mendalam dan terperinci tentang topik tersebut. Apabila kita mahir dengan topik yang dipelajari, kita dapat membuat hujah dan kesimpulan antara rakan sekelas dan pensyarah. Pemikiran kritikal juga dapat digunakan dalam kehidupan seharian terutamanya kepada diri kita untuk mengelakkan daripada membuat keputusan yang tidak betul dan merugikan diri sendiri selain dapat membantu kita untuk tidak membuat tanggapan yang salah dan tidak dikaji dengan betul. Kesemua kepentingan ini dapat digunakan bukan sahaja ketika di universiti bahkan ketika kerja kelak.
Namun demikian, terdapat beberapa halangan untuk kita berfikir secara kritikal antaranya ialah kurang melakukan penyelidikkan maklumat yang relevan selain kekurangan kemahiran membaca dalam diri sendiri. Seringkali kita bersikap prejudis antara satu sama lain yang menjadikan diri kita membenci sesuatu hal tersebut seperti subjek yang tidak digemari. Kita perlu mengelakkan sikap prejudis dengan berkongsi pengetahuan yang ada dengan orang lain terutamanya rakan sekelas. Seseorang yang mempunyai kemahiran berfikir secara kritikal adalah seseorang yang mempunya fikiran terbuka, mengkaji sesuatu situasi secara keseluruhan dengan menggunakan pelbagai maklumat dan sumber yang ada serta amat mementingkan perasaan orang lain terutamanya rakan-rakan sendiri.
Pemikiran kritikal menjadikan kita untuk meminta pertimbangan dalam diri bahkan orang lain juga untuk dinilai pernyataan dan hujah-hujah yang diterima. Hal ini dapat mengembangkan rasa pemerhatian dan rasa ingin tahu untuk menjadikan kita mencari pelbagai penyelesaian baru. Kita akan mendengar, berfikir dan memberi maklum balas terhadap maklumat yang disampaikan oleh orang lain contohnya ketika kita membuat perbincangan kumpulan untuk kerja kursus. Secara tidak langsung, kita akan menjadi seseorang yang berfikiran lebih terbuka dengan berkongsi dan menerima idea-idea orang lain.
Kemahiran berfikir secara kreatif pula menjadikan kita sebagai orang yang lebih bertenaga tetapi sentiasa fokus. Kita akan menjadi bertenaga daripada segi fizikal, mental dan emosi di samping mempunyai masa berehat untuk berfikir tentang perkara yang kita minat. Selain itu, orang yang kreatif boleh menjadi pandai dan naif dalam masa yang sama. Hal ini kerana kita dapat mengekalkan rasa ingin tahu tentang semua hal. Orang yang kreatif adalah seseorang yang introvert dan extrovert kerana kreativiti memerlukan kedua-dua jenis kepribadian tersebut seperti boleh bergaul dengan rakan sekelas dan boleh menjadi seorang yang tenang. Pemikiran ini juga menjadikan seseorang itu berfikir di luar kotak. Dengan kehidupan di universiti yang penuh cabaran, kita perlu berfikir secara kreatif untuk menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi.
Pelbagai cara yang kita boleh lakukan untuk meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif iaitu bergaul dengan orang lain. Kebiasaannya, jika kita bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai banyak persamaan dengan diri kita boleh menjadikan diri kita lebih malas kerana andaian kita yang tidak dapat dicabar. Kita boleh mengambil masa untuk keluar dan berjumpa orang lain yang mungkin berbeza daripada kolej atau fakulti sendiri untuk mencabar andaian sendiri. Tanpa disedari, kita akan mula berfikir secara meluas dan cuba melihat perkara-perkara yang berbeza. Selain itu, kita boleh mencuba sesuatu yang baru untuk memperoleh peluang yang baru. Sebagai seorang mahasiswa di universiti, kita perlu mencabar diri sendiri untuk mempelajari kemahiran baru seperti menyertai kelab dan persatuan yang ada di universiti. Hal ini akan menjadikan satu pengalaman yang bermakna dan kemahiran yang diperoleh boleh digunakan semasa latihan industri kelak. Ia akan mengubah sikap stereotaip yang ada dalam diri saya sendiri untuk meningkatkan lagi keupayaan kita berfikir secara lebih kreatif.
Kesimpulannya, kehidupan menjadi seorang pelajar universiti memang banyak cabaran yang akan dihadapi. Oleh itu, graduan perlu berkebolehan untuk berfikiran secara cepat dan tepat untuk menangani masalah yang dihadapi supaya boleh berjaya bukan sahaja dalam kerjaya kita kelak tetapi juga dalam kehidupan seharian. Kedua-dua kemahiran berfikir ini adalah sangat penting dalam diri kita.
RUJUKAN
DeLecce, T. (2018, April 2). What is Critical Thinking? - Definition, Skills & Meaning. Retrieved from Study.com: https://study.com/academy/lesson/what-is-critical-thinking-definition-skills-meaning.html
Rawlinson, J. G. (2017). Creative Thinking and Brainstorming. New York: Routledge.