ADAPTABILITY
KEBOLEHSUAIAN
Berdasarkan apa yang saya pelajari, kebolehsuaian adalah seseorang individu dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baru. Ia adalah perlu untuk mengekalkan kehidupan manusia sebagai udara dan air. Setiap detik setiap jam tubuh kita dan minda kita beradaptasi dan berubah, jika tidak hidup akan terhenti wujud. Apabila kita menyesuaikan diri dengan keadaan, gaya hidup atau persekitaran yang berlainan, kita menyesuaikan dan mengubah teras siapa kita untuk memenuhi keadaan, keperluan, atau keadaan baru dalam kehidupan kita. Adaptasi adalah tentang memiliki fleksibiliti dan keupayaan untuk beralih dari kemudahan tradisional anda kepada sesuatu yang membolehkan anda mengubah untuk kemajuan dan perubahan. (Ross, Rhodes, & Hastings, 2008)
Persekitaran kehidupan dan kerja yang sentiasa berubah dan mencabar bukan sahaja memerlukan kemahiran berfikir dan ilmu pengetahuan, malah memerlukan kebolehsuaian agar seseorang itu dapat menjalani kehidupan yang baharu dengan lebih mudah. Kemajuan teknologi pada zaman kini juga memerlukan seseorang untuk mempelajarinya agar dapat membiasakan diri dengan menggunakan teknologi yang semakin canggih. Konsep kebolehsuaian dapat dibahagikan kepada dua proses iaitu fleksibiliti dan versatiliti. Fleksibiliti bermaksud kesanggupan kita untuk menerima perubahan baharu dalam kehidupan manakala versatiliti bermaksud keupayaan kita untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang baharu. (Alessandra, 2016)
Saya sebagai seorang pelajar di sebuah sekolah harian yang baru sahaja menamatkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, perasaan rindu dan sebak apabila meninggalkan rumah untuk kali pertama dan berjauhan dengan keluarga amat dirasai. Tambahan pula, kehidupan di universiti dan alam persekolahan amat berbeza. Di sekolah, pengajaran dan pembelajaran menumpukan perkara-perkara asas manakala silibus di universiti menjurus kepada bidang yang lebih mendalam dan terperinci. Hal ini menambahkan lagi beban emosi yang dihadapi oleh saya sebagai mahasiswa baharu pada tahun pertama di universiti. Dalam proses penyesuaian dari alam persekolahan ke universiti, pelbagai cara yang saya lakukan untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan kehidupan yang serba baharu.
Berdasarkan topik yang saya pelajari, saya dapat memanfaatkannya sepanjang menjadi mahasiswa di universiti antaranya ialah belajar untuk berdikari. Apabila kita melangkah masuk ke alam universiti, ia adalah masa di mana kebebasan hidup akan kita rasai kerana tiada ibu dan ayah untuk menegur salah dan silap kita. Oleh itu, kita perlu bersiap sedia untuk menggalas tanggungjawab ke atas diri sendiri dengan mempelajari perkara-perkara mengenai pengurusan diri seperti mengemas bilik, membasuh baju dan lain-lain lagi. Kita juga perlu membuat perancangan dengan teliti tentang bagaimana untuk menyimpan dan mendapatkan wang ketika di universiti. Hal ini menjadikan kita berdikari tanpa bergantung terhadap keluarga lagi. Oleh itu, keputusan yang dibuat perlulah betul dan rasional dalam semua perkara.
Selain itu, kebolehsuaian membolehkan kita meningkatkan pergaulan ketika di universiti. Pada awalnya, mungkin kita akan berasa malu untuk bertegur dengan rakan sekelas dan juga rakan sebilik. Tidak dinafikan bahawa saya memerlukan masa untuk menjadi rapat dengan rakan sebilik yang berlainan negeri. Namun, hal ini dapat diatasi dengan menjalinkan hubungan yang lebih rapat bersama rakan sebilik seperti keluar makan bersama-sama dan berkongsi cerita antara satu sama lain. Terdapat segelintir rakan sekelas yang berbeza bangsa, agama bahkan negara juga seperti ada yang daripada negara Arab Saudi dan Indonesia. Perbezaan bahasa antara rakan sekelas menjadi cabaran untuk saya bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan lebih baik. Namun, cabaran ini tidak boleh dijadikan alasan dalam diri sendiri kerana kita perlu mengubah pemikiran negatif kita. Kita perlulah lebih yakin dengan diri sendiri agar kita dapat menjamin hubungan yang baik dengan rakan sekelas, rakan sebilik dan yang lain-lain.
Seterusnya, aspek penyesuaian diri yang betul adalah dengan menguruskan masa dengan betul. Sebagai seorang mahasiswa yang produktif, kita perlulah bijak dalam membahagikan masa dengan berkesan dalam tiga aspek kehidupan di universiti iaitu dalam pelajaran, aktiviti kokurikulum dan kehidupan sosial. Dengan menceburi aktiviti kokurikulum, kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerjasama dapat disemai. Hal ini kerana dengan menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum, kita dapat menjalinkan perhubungan yang baik dengan rakan mahasiswa yang lain yang luar daripada bidang kita untuk meluaskan pergaulan serta dapat memahami corak corak pemikiran dan budaya yang ada. Namun, kita perlulah mengutamakan pelajaran juga jadi kita bolehlah menyusun jadual dengan sistematik. Sebagai contoh, susun jadual untuk masa di kelas, aktiviti kokurikulum dan untuk bersosial. Justeru itu, kita harus tahu apa yang perlu diutamakan, yang boleh ditangguhkan dan yang tidak penting. Perkara yang perlu diutamakan perlu disegerakan, perkara yang boleh ditangguhkan boleh dilewatkan manakala perkara yang tidak penting boleh dibaikan.
Di samping itu, melalui penyesuaian diri kita dapat memupuk dalam diri tabiat belajar
yang baik. Sebagai seorang pelajar, kita perlu merajinkan diri untuk pergi ke kelas dan memberi perhatian apa yang disampaikan oleh pensyarah dengan mengambil nota. Hal ini kerana ketika di kelas, kebanyakkan pensyarah akan memberitahu perkara yang penting yang akan keluar semasa peperiksaan. Kita perlu meluangkan masa selepas kelas untuk mengulangkaji nota yang ditulis agar mudah untuk kita mengingatinya. Nota yang diulangkaji perlulah ditulis di kertas bukannya di telefon bimbit atau komputer riba agar ia memudahkan kita untuk menghafal konteks tersebut di samping perhatian kita tidak akan terganggu. Oleh hal yang demikian, kita perlu merancang rutin harian untuk belajar dan mengulangkaji pada waktu yang sesuai dan elakkan daripada tidur lewat setiap malam jika kita ingin memulakan pagi kita pada waktu yang awal.
Kita perlulah mengubah cara pemikiran kita ke arah yang lebih positif agar kita dapat menyesuaikan diri di tempat baharu sebagai seorang mahasiswa di universiti. Pelbagai cara boleh dilakukan tetapi kita perlu lebih bermotivasi untuk berjaya. Semua perkara tidak boleh dilakukan secara tiba-tiba tetapi ia memerlukan masa dan usaha yang banyak. Perkara yang paling penting sekali adalah dengan mengekalkan rasa ingin tahu dalam apa-apa yang dipelajari. Sebagai seorang graduan, melakukan kesilapan dan belajar daripada kegagalan merupakan pengalaman yang penting sepanjang di universiti. Pada dasarnya, setiap insan pasti akan gagal dalam kehidupan mereka. Melalui kegagalan yang dialami itulah yang menjadi pengajaran dalam diri kita untuk menjadi lebih matang.
RUJUKAN
Alessandra, T. (2016, November 3). Do You Have Adaptability? Retrieved from SUCCESS Magazine: https://www.success.com/do-you-have-adaptability/
Ross, A. M., Rhodes, D. H., & Hastings, D. E. (2008). Defining Changeability: Reconciling Flexibility, Adaptability, Scalability, Modifiability, and Robustness for Maintaining System Lifecycle Value. Systems Engineering, 246-262.