Pelaporan
________________________________________________________________________________________________
UHIT2302 – PEMIKIRAN SAINS DAN TEKNOLOGI
==============================================================
UCAPAN TUN MAHATHIR DI OXFORD:
ULASAN
SEKSYEN : 38 – 1SECR
NAMA : MUHAMMAD ISKANDAR ZULQARNAIN BIN MOHD ISHAK
ID PELAJAR : A19EC0098
NAMA KURSUS : SARJANA MUDA SAINS KOMPUTER – RANGKAIAN DAN KESELAMATAN
NAMA PENSYARAH: DR. SULAIMAN BIN KADIKON
1.0 Pendahuluan
Nama Perdana Menteri Malaysia kita yang Ke-7 memang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga seantero dunia. Baru-baru ini, penghormatan diberikan oleh Oxford Union kepada Perdana Menteri kita untuk memberi ucap tamu beliau di sana pada tarikh tersebut mencuri perhatian seluruh dunia.
Namun, ramai yang tertanya-tanya, apakah itu Oxford Union? Oxford Union merupakan persatuan pelajar yang cukup istimewa di Great Britain dan dikenali sebagai pentas berucap berprestij. Ia mempunyai tradisi penganjuran sesi perbahasan sesama anak muda dan ucapan individual penting dunia sejak tahun 1823 lagi. Ramai golongan-golongan elit yang pernah dijemput untuk menyampaikan ucapan di acara anjuran Oxford Union seperti Dalai Lama, Mother Theresa, David Cameron dan pelakon-pelakon Hollywood. Oxford Union juga merupakan pentas terakhir untuk ucapan bebas dalam dunia Barat.
Sekarang, kesatuan ini dipimpin oleh presidennya, Danial Wilkinson. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menjemput Tun Dr. Mahathir untuk berucap di sana.
2.0 Biografi Tun Mahathir
3.0 Latar Belakang Universiti
Universiti Oxford yang terletak di bandar raya Oxford, England, ialah universiti yang tertua di dalam dunia pertuturan Bahasa Inggeris. Universiti ini menyusur-galur asalnya pada sekurang-kurang akhir abad ke-11, walaupun tarikh pengasasan yang tepat masih tidak jelas. Pentarikhan ini menyebabkan tempoh kewujudannya sama sahaja dengan Akademi Plato (400-an SM hingga 500-an Masihi).
Menurut legenda, selepas sebuah rusuhan antara pelajar-pelajar dengan orang-orang bandar tercetus pada tahun 1209, sesetengah pensyarah dari Universiti Oxford melarikan diri ke bandar Cambridge di arah timur laut dan mengasaskan Universiti Cambridge. Sejak masa itu, kedua-dua universiti ini telah mempunyai sejarah persaingan yang lama antara satu sama lain, dan merupakan universiti-universiti yang paling sukar untuk mendapatkan tempat pendidikan di United Kingdom.
Tarikh pengasasan Universiti Oxford tidak diketahui dan mungkinnya, pengasasan universiti ini tidak merupakan satu peristiwa yang tunggal. Bagaimanapun, adanya bukti pengajaran di universiti itu seawal 1096. Ketika Henry II dari England melarang pelajar-pelajar Inggeris menyertai Universiti Paris pada tahun 1167, Universiti Oxford bermula berkembang dengan pesat. Pengasasan kolej-kolej kediaman pertama yang kemudiannya dijadikan kolej bertarikh dari tempoh ini.
4.0 Ulasan Ucapan Tun Mahathir di Oxford Union
Dalam ucapan beliau, banyak isu yang diketengahkan sepanjang ucap tamu yang berdurasi lebih 1 jam itu. Isu-isu ini dilontarkan oleh para penonton yang hadir dan turut serta dalam perbincangan itu. Antara isu yang diketengahkan ialah isu Malaysia melarang penyertaan atlet Israel, isu air Malaysia dengan Singapura, isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta persoalan tentang mengapa penduduk Melayu dan Bumiputera diberikan hak istimewa.
4.1 Larangan Penyertaan Atlet Israel Dalam Acara Sukan
Kejohanan Renang Para Dunia di Sarawak pada bulan Julai itu disertai oleh pelbagai atlet seantero dunia, termasuklah dari negara musuh Islam, iaitu Israel. Justeru itu, Kabinet Malaysia telah melarang penyertaan atlet Israel dalam menyertai acara sukan tersebut. Isu ini mendapat liputan hangat dari pelbagai sudut dunia termasuklah Presiden Kesatuan Oxford, Daniel Wilkinson yang mengajukan soalan berkaitan pendirian Malaysia yang menghalang kemasukan atlet dalam sukan. Berikutan hal ini, Tun Mahathir telah digelarkan sebagai anti-semitik hanya kerana kelantangannya mengkritik Israel.
Pada pendapat saya, kerajaan Malaysia mengambil langkah yang sangat proaktif dan tepat sekali. Hal ini demikian kerana kita sendiri dapat melihat dan meratapi kesengsaraan umat Islam di Tanah Gaza yang bermati-matian bertarung nyawa untuk kelangsungan hidup. Israel hanya tahu melontar bom, memusnahkan kediaman insan-insan tidak bersalah dan memberi tekanan kepada rakyat Palestin. Maka layakkah komuniti seperti ini diberi penyertaan dalam acara sukan seperti yang dikatakan tadi? Tidak sama sekali. Setitis darah yang terkorban di Palestin atas kekejaman mereka tidak layak sama sekali mendapat penghormatan dan layanan baik dari masyarakat Islam, terutamanya Malaysia. Tambahan pula, Malaysia sudah melancarkan kempen beli barangan Muslim dan memboikot segala jenis perdagangan yang berkait dengan Israel. Kami tidak ingin menyumbangkan wang dan rezeki kami untuk menjatuhkan agama sendiri. Bukannya kami tidak sedar yang duit hasil jualan perdagangan Israel itu digunakan untuk menambah dana menaik taraf senjata api mereka, malahan juga kami membenci dengan sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel. Oleh sebab itu, saya menyokong usaha kerajaan dalam menghalang penyertaan atlet Israel dalam acara sukan di negara ini.
4.2 Isu Air Malaysia dengan Singapura
“Bertahun lamanya Singapura ambil kesempatan, ini dah ‘mengarut’.”
(Tun Mahathir, 2019)
Seorang pelajar dari Singapura mengajukan sebuah soalan yang berkaitan dengan hubungan diplomatik kedua-dua buah negara iaitu isu air Singapura dan Malaysia yang telah sekian lama berlaku.
Singapura merupakan sebuah negara yang tidak mempunyai sumber air yang mapan kerana kekurangan kawasan tadahan air. Tidak seperti di Malaysia yang faktor geografinya sangat sesuai untuk sebahagian kawasan tadahan air. Oleh itu, Malaysia dengan baik hati menjual air mentah kepada Singapura dengan harga 3 sen untuk setiap 1,000 gelen air. Namun, timbul isu apabila Singapura menjual kembali air yang dirawat kepada Malaysia pada nilai yang sangat tinggi iaitu pada harga RM 250.00 segelen. Ini sangat tidak relevan kerana satu pihak akan mengalami kerugian yang tinggi akibat penjualan yang tidak adil.
Maka, saya berpendapat bahawa Singapura ingin mengambil kesempatan dalam memonopoli ekonomi Malaysia kini. Tambahan pula sekarang kegawatan ekonomi secara global merancakkan lagi krisis ini. Andaikan saja perasaan anda apabila anda mengalami situasi seperti ini, pastinya akan melenting kerana harga yang sangat tidak masuk akal. Sebagai sebuah negara maju, kita seharusnya mempunyai pemikiran yang waras serta rasional apabila berunding dengan orang lain, khususnya apabila melibatkan urusan kewangan. Justeru, hal ini tidak sepatutnya menjadi faktor permusuhan Malaysia dan Singapura. Malaysia hanya mahukan penetapan harga yang baru dan adil dan bukannya meminta harga yang terlalu rendah. Cukup sekadar mengimbangi kemampuan kedua-dua belah pihak.
4.3 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
Menurut Dr Mahathir, walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lepas telah menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau sinonimnya Internal Security Act (ISA), namun mereka tampil dengan undang-undang baharu yang lebih mengikat. Malah ketika zaman pemerintahannya dahulu, beliau juga menentang ISA. ISA merupakan undang-undang tahanan pencegahan di Malaysia. Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Dalam pada itu, ada sesetengah pihak yang menentang keras penghapusan akta ini disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor yang paling utama diketengahkan dalam isu ini ialah ketegangan kaum dan keharmonian.
Secara peribadi, saya juga menentang pemansuhan akta ini. Keadaan ini tercetus kerana dengan tiadanya akta ini, semua orang bebas melakukan apa sahaja perkara yang mereka inginkan. Hal ini termasuklah kerosakan, pergaduhan dalam masyarakat serta pengabaian keselamatan. Kesejahteraan dan keharmonian negara tidak akan terjamin lagi. Justeru, pihak yang bertanggungjawab perlu mengkaji semula perubahan dasar ini. Janganlah sampai memperlihatkan Malaysia sebagai negara yang kucar-kacir, melihat rumah dibakar, jambatan runtuh atau kehilangan nyawa baru mahu mula terkedek-kedek melaksanakan semula ISA. Dengan terbina semula akta ini, maka individu-individu yang suka mencetuskan provokasi berbaurkan unsur perkauman tidak berani lagi berbuat sedemikian. Hingga kini sahaja banyak isu perkauman yang wujud seperti isu tulisan jawi dan kes kematian anggota bomba akibat rusuhan di kuil.
4.4 Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera
Mendengarkan sahaja persoalan ini, pelbagai jawapan telah berlegar-legar di ruang minda kita sebagai rakyat Melayu dan Bumiputera di Malaysia. Sejak dari Tingkatan 1 lagi para pelajar di Malaysia telah didedahkan dengan silibus subjek Sejarah tentang Perlembagaan Malaysia. Antara kandungan perlembagaan ini termasuklah melindungi dan memelihara hak istimewa orang Melayu. Tamsilnya, orang Melayu dan Bumiputera ditawarkan harga hartanah yang rendah berbanding kaum lain. Hairannya timbul juga persoalan ini semasa di Oxford Union tentang hak istimewa Melayu dan Bumiputera.
Menjurus kepada sejarah, nenek moyang kita dahulu merupakan komuniti masyarakat yang sangat baik hati dan penyayang. Ini boleh dibuktikan melalui beberapa peristiwa seperti penjajahan Jepun di Tanah Melayu yang mahu menghapuskan etnik Cina dan India. Pada waktu ini, nenek moyang kita yang berbangsa Melayu tidak mengabaikan dua kaum ini, malahan mengambil bayi-bayi yang masih kecil dari keluarga Cina dan India untuk dijaga dan dibesarkan dengan baik. Sungguh murni sebenarnya hati orang dahulu. Dari sudut inilah kita ingin menegaskan bahawa kami, orang Melayu telah memberi perlindungan sebaik mungkin kepada majoriti rakyat Cina dan India pada ketika itu. Sebagai balasan, kami hanya inginkan kalian menghormati Perlembagaan Malaysia berkaitan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, kerana sesungguhnya pengorbanan kami terhadap kalian pada zaman dahulu sukar untuk dibalas walaupun dengan wang ringgit. Justeru hak istimewa ini perlu dihormati dan tidak sepatutnya dipertikaikan atas apa jua alasan sekalipun. Mana-mana pihak yang menjadi batu api dalam melagakan hal ini sebenarnya merupakan individu yang tidak mengetahui sejarah dan hanya hidup tanpa identiti sebuah bangsa yang menghayati nilai sejarah.
5.0 Kesimpulan
Intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa negara kita Malaysia mempunyai pemimpin yang sangat berkaliber dan berpengetahuan luas dalam selok-belok pentadbiran negara. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur dan berbangga atas kredibiliti Perdana Menteri kita yang ke-7, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dalam menjawab segala lontaran persoalan yang diajukan oleh pelbagai pihak semasa Oxford Union. Menyimpulkan khusus dari kaca mata seorang pelajar, kita seharusnya mempunya pemikiran yang rasional dalam memutuskan apa-apa keputusan dengan memikirkan pelbagai sudut agar tiada satu pihak pun yang terabai dengan keputusan yang bakal kita lakukan. Generasi kitalah yang akan menjadi pemimpin tidak lama lagi. Justeru adalah penting bagi semua belia untuk mencontohi peribadi dan pekerti yang mulia pemimpin teragung supaya negara aman dan harmoni. Harapan saya agar Malaysia menjadi sebuah negara maju dan mapan yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain serta mempunyai misi dan visi yang disulami tekad dan hasrat untuk mencapai kecemerlangan global.