Pemikiran Sains dan Teknologi

Pemikiran Sains Teknologi (e-Portfolio 2)

Maksud Sains dan Teknologi

Sebelum kita menjelaskan maksud sains dan teknologi, kita haruslah memahami maksud “sains” dan “teknologi”. Hal ini demikian kerana sains dan teknologi adalah topik yang merangkumi sains, teknologi, dan interaksi antara kedua-duanya. Sains merupakan suatu proses untuk mengumpul ilmu pengetahuan dan penyusunan ilmu yang dikumpulkan tersebut. Melalui pemerhatian dan eksperimen, ilmu pengetahuan sains dapat diperolehi dan pelbagai fenomena dapat dijelaskan dengan ilmu pengetahuan sains tersebut. Oleh itu, sains juga merupakan suatu ilmu pengetahuan yang sistematik dan boleh dibuktikan kebenarannya dengan memberikan fenomena yang selaras dengan konsep ilmu sains tersebut. Teknologi pula bermaksud peralatan yang mengaplikasikan ilmu pengetahuan sains yang boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh manusia dalam kehidupan seharian. Secara keseluruhannya maksud sains dan teknologi ialah nilai-nilai dan pandangan yang dibentuk oleh manusia sendiri bagi tujuan untuk menghadapi masalah dalam kehidupan seharian supaya dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan menggunakan peralatan yang mengaplikasikan ilmu yang diperoleh melalui pemerhatian dan eksperimen.

Dwarka

Details

Ulasan Dokumentasi

Dokumentasi yang saya pilih ialah video yang bertajuk “Hidden Ancient Technology - Secret Science of the Gods and Atlantis - Rediscovered history”. Video ini menerangkan penerokaan Aminsh Shah terhadap bandar purba bernama Dwarka yang ditenggelami oleh laut beribu-ribu tahun yang lalu. Aminsh Shah adalah amat berminat terhadap seni bina bangunan-bangunan masa dahulu dan mempersoalkan bagaimana bangunan-bangunan tersebut dibina dengan teknologi lampau sedangkan teknologi hari kini tidak dapat membina bangunan-bangunan tersebut. Pelbagai artifak seperti duit syiling, batu anchor dan sebagainya telah dijumpai yang dipercayai wujud pada tahun 1500 S.M. di sebuah pulau di Dwarka.Sebuah teks kuno yang bernama Mahabharata adalah salah satu legenda Sanskrit utama di India pada masa dahulu dan teks ini telah merekodkan 18 buku yang menceritakan peperangan antara Pandavas yang dipimpin oleh Krishna dan Kauravas. Mahabharata juga menerangkan bahawa wujudnya sebuah bandar yang cantik bernama Dwarka serta bandar ini dibina oleh Krishna yang merupakan seorang dewa dan akhirnya ditenggelami oleh laut. Oleh itu, hal ini menyebabkan Aminsh Shah mahu meneroka lebih lanjut kerana mempunyai Mahabharata yang menyokong kewujudan bandar Dwarka yang ditenggelami oleh laut. Selain itu, Dr. Narahari Achar yang merupakan seorang profesor fizik telah menggunakan teori astronomi untuk mengenalpasti tahun berlakunya peperangan yang disebutkan dalam teks Mahabharata. Akhir sekali, tahun 3067 S.M. telah dikenalpasti sebagai tahun berlakunya peperangan dengan mengenalpasti tahun berlakunya fenomena-fenomena astronomi yang disebut pada teks Mahabharata. Oleh itu, ia adalah munasabah untuk menganggap bahawa Mahabharata adalah teks yang merekodkan peristiwa yang benar berlaku pada masa itu kerana fenomena astronomi yang disebut dalam Mahabharata telah dikesahkan dengan kaedah saintifik moden. Seterusnya, Muhabharata juga menyebutkan tentang sebuah teknologi yang merupakan rujukan kepada mesin terbang yang bernama Vimana. Mesin ini telah digunakan oleh Raja Salva untuk menyerang negara Krishna. Hal ini telah membuktikan bahawa teknologi pada masa dahulu telah pun mula untuk berkembang. Oleh itu, hubungan sains dan teknologi dengan manusia telah wujud sejak masa dahulu lagi dan hubungan ini haruslah dikekalkan dan dikembangkan supaya keselesaan hidup manusia dapat dijamin.

Hubungan sains dan teknologi dengan manusia mengalami evolusi

Pada masa kini, hubungan sains dan teknologi dengan manusia adalah amat penting dalam kehidupan seharian manusia dan sentiasa mengalami evolusi. Sejak zaman dahulu lagi, sains dan teknologi sentiasa mengalami perkembangan sehinggalah mencapai kemajuan dalam sains dan teknologi hari kini. Sebagai contohnya, sejak abad ke-17 lagi, sains moden telah pun berkembang pesat di Barat yang berasal daripada Tamadun Yunani Kuno. Selain itu, internet merupakan salah satu pencapaian manusia terbaik dalam bidang sains dan teknologi. Evolusi hubungan sains dan teknologi dengan manusia ini telah memudahkan manusia dalam pelbagai aspek seperti perhubungan, pengumpulan maklumat dan sebagainya dan meningkatkan kualiti hidup manusia. Evolusi hubungan sains dan teknologi dengan manusia telah menunjukkan kreativiti dan inovasi manusia dalam penyelesaian masalah kerana manusia dapat berfikir secara kreatif dan inovatif dalam mencipta peralatan yang dapat menyelesaikan masalah mereka. Oleh itu, hubungan sains dan teknologi dengan manusia harus dikekalkan supaya keselesaan hidup manusia dapat dijamin.