Tanggapan pelajar mengenai kursus UICL2302
Sebagai seorang pelajar kejuruteraan Mekanikal, pada mulanya saya beranggapan bahawa matapelajaran Pemikiran Sains & Teknologi ini sangat tidak relevan sebagai seorang jurutera. Maksud saya di sini ialah untuk menjadi sebagai seorang jurutera, matapelajaran kejuruteraan sahaja yang penting dan perlu ditekankan. Namun tanggapan awal saya adalah tidak benar selepas saya melihat ‘course outline’ yang telah dimuat turun di dalam portal e-learning. Berdasarkan maklumat kursus yang telah dimuat naik di e-learning, telah dinyatakan bahawa kursus ini bakal menjelaskan mengenai perkembangan pemikiran sains dan teknologi dalam peradaban manusia sejak zaman klasik hingga kini. Fokus utama adalah berkaitan dengan ekosistem pemikiran saintifik yang merangkumi aspek hubungan antara manusia dan agama, kepentingan sistem nilai dan etika, serta peranan sains dalam kehidupan. Di samping itu, kursus ini juga menekankan anjakan paradigma, penyelesaian holistik terhadap isu-isu semasa, transformasi dan inovasi, falsafah sains dan teknologi dalam konteks Dasar Sains, Teknologi, dan Inovasi Negara sejajar dengan perkembangan Industri 4.0 dan usaha ke arah menginsankan sains dan teknologi (humanizing science and technology). Setelah membaca keseluruhan maklumat tentang kursus ini, saya berpendapat bahawa kursus ini adalah sangat penting dalam membentuk seorang pelajar yang mempunyai jati diri dan mempunyai sifat insaniah yang baik serta sentiasa berfikiran lebih terbuka dalam sesuatu perkara terutamanya dalam bidang sains dan Teknologi.