Tanggapan Awal dan Refleksi Akhir (UHIT2302-33-Pemikiran Sains dan Teknologi)
Sebagai tanggapan awal, subjek Pemikiran Sains dan Teknologi ini akan merangkumi cara sains dan teknologi berinteraksi dengan hubungan manusia dalam pelbagai aspek kehidupan sejak tamadun awal manusia. Sebagai pelajar sains komputer dalam Bioinformatik, tanggapan saya adalah bahawa ilmu yang diperoleh sepanjang kursus tersebut akan memudahkan saya dalam proses mencari maklumat relevan berkaitan bidang pengurusan data. Sebagai contohnya, saya akan dapat menggunakan pendekatan yang menitikberatkan pemikiran saintifik dalam memperoleh maklumat berkaitan teknologi untuk menyelesaikan masalah tentang molekul dalam bidang biologi.
Setelah mengikuti kursus tersebut sepanjang semester ini, saya telah memahami bahawa terdapat beberapa aspek yang haruslah disemai dalam jiwa diri sendiri dan digabungkan dengan ilmu pengetahuan yang dipelajari agar mencapai kemaslahatan yang maksimum. Dalam proses menyempurnakan tugasan kumpulan berkaitan subjek ini, ahli kumpulan dan saya diberi tugasan untuk menghasilkan inovasi iaitu satu prototaip berkaitan ekosistem pemikiran saintifik. Prototaip tersebut juga haruslah merangkumi aspek kepentingan sistem nilai dan etika, hubungan antara manusia dan agama, serta peranan sains dalam kehidupan.
Sebagai refleksi akhir berkaitan subjek Pemikiran Sains dan Teknologi, aspek-aspek penting seperti sentiasa berfikiran terbuka dan semangat ingin tahu telah saya pelajari dan akan saya cuba untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan harian. Dari segi kemahiran berkomunikasi, saya juga telah didedahkan kepada kepentingan dan keperluan untuk berinteraksi secara efektif bagi menyelesaikan sesuatu masalah dengan lebih cepat. Manakala dari segi pembangunan peribadi, saya telah memperoleh banyak ilmu pengetahuan daripada subjek ini dan secara tidak langsung memperluas cakrawala saya. Dalam era teknologi yang dibanjiri dengan informasi yang pelbagai variasinya, sebagai seorang pelajar, saya perlulah menganalisis isu-isu semasa berkaitan transformasi dalam pemikiran sains dan teknologi dari segi ketepatan data dan relevansinya. Bagi merentasi cabaran yang wujud serentak dengan Revolusi Industri 4.0, saya haruslah menginsankan sains dan teknologi secara bijak. Justeru, anjakan paradigma dan penyelesaian holistik terhadap isu-isu semasa adalah unsur-unsur yang ditekankan oleh subjek ini.