DINAMIKA MALAYSIA

Wacana Negara Rahmah Ummah Sejahtera

Refleksi

Pada 21 November 2019, di Masjid Seri Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia telah mengadakan satu ceramah tentang Gagasan Islam sebagai Rahmatan Lil’alamin dalam kehidupan individu dan masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia. Ceramah ini dibawa oleh Ustaz Ali Bin Muda, Pegawai Khas YB Menteri Agama. Sebelum itu, saya ingin berterima kasih kepada Dr. Hassan Bin Hushin kerana telah memberi peluang kepada kami untuk mendengar ceramah ini walaupun ia telah mengambil masa mengajar beliau.

            Selain itu, terdapat beberapa pentafsiran terhadap maksud Rahmatan Lil’alamin. Jika ditafsir dari segi bahasa, maksud rahmat ialah kelembutan yang berpadu dengan rasa iba. Dengan kata lain, rahmat juga bererti kasih sayang. Demikian dengan itu, Rahmatan Lil’alamin secara bahasa adalah kasih sayang bagi seluruh alam. Maka, Nabi Muhammad SAW diutuskan adalah sebagai bentuk kasih sayang Allah SWT kepada seluruh manusia. Oleh itu, konsep ini telah diperkenalkan di Malaysia dengan tujuan bahawa Islam adalah agama rahmat bagi seluruh umat manusia.

            Sehubungan dengan itu, menurut Ibnu Qayyim Al-Jawziyyah, terdapat dua penerangan yang ditafsir olehnya. Pertama, alam semesta ini secara umum mendapat manfaat dengan utusan Nabi Muhammad SAW. Orang yang mengikuti baginda akan dapat meraih kemuliaan di dunia dan di akhirat sekaligus. Orang kafir yang memerangi baginda pula mendapat manfaat dengan disegerakan pembunuhan dan maut bagi mereka, ini kerana hidup mereka hanya akan menambah keseksaan azab di akhirat kelak. Oleh sebab itu, dipercepatkan ajal mereka adalah lebih bermanfaat daripada hidup dalam kekufuran. Di samping itu, bagi orang kafir yang terikat perjanjian dengan baginda, manfaat bagi mereka adalah dibiarkan hidup di dunia dalam perlindungan dan perjanjian. Mereka ini lebih sedikit keburukannya daripada orang kafir yang memerangi Nabi Muhammad SAW. Dan pada umat manusia setelah baginda diutuskan, Allah SWT tidak memberikan azab yang menyeluruh dari umat manusia di bumi. Maka, semua manusia mendapat manfaat dari utusan Nabi Muhammad SAW. Sementara itu, pendapat beliau yang kedua ialah Islam adalah rahmat bagi setiap manusia. Namun orang yang beriman menerima rahmat ini dan mendapat manfaat di dunia dan di akhirat. Walaupun orang kafir menolaknya, Islam tetap dikatakan rahmat bagi mereka

            Bertitik tolak daripada kenyataan di atas, saya dapati bahawa konsep Rahmatan Lil’alamin ini seharusnya dipromosikan secara meluas agar lebih difahami oleh pelbagai pihak tidak kira bangsa dan agama. Hal ini demikian kerana konsep ini akan memberi kesejahteraan hidup kepada masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. Ia juga dapat menyatukan masyarakat di negara ini sekiranya konsep ini diaplikasikan secara lancer dan baik. Tambahan pula, hidup seseorang individu itu akan lebih aman dan damai kerana akan pupusnya isu perkauman di negara ini.

            Di sini saya ingin tegaskan bahawa sekiranya ingin membina suasana kehidupan yang harmoni, pembangunan kerangka konsep Rahmatan Lil’alamin di Malaysia seharusnya mengambil kira asas-asas konsep tersebut iaitu Islam meletakkan prinsip kedamaian, berbuat baik dan adil kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Namun, penjagaan kedudukan agama Islam haruslah dipelihara dalam negara yang menobatkan Islam sebagai agama persekutuan ini.

Details