Bermulanya kelas pertama bagi subjek ini, saya sangkakan bahawa ia lebih kurang dengan subjek Pemikiran Sains Teknologi tetapi subjek ini lain sedikit dari Pemikiran Sains Teknologi, subjek ini lebih memfokuskan kepada isu-isu di Malaysia dan mengenali Malaysia dengan lebih mendalam. Pada mulanya, saya tidak suka dengan subjek ini kerana ia berkait rapat dengan pengetahuan am dimana saya lemah dalam hal tersebut. Namun, apa yang saya lalui adalah bertentangan dengan apa yang saya sangkakan mula-mula. Saya ingin berterima kasih kepada Dr. Hassan Bin Hushin, pensyarah bagi subjek ini kerana beliau telah memberi saya kesedaran tentang pentingnya pengetahuan am ini. Walaupun usia beliau sudah meningkat, tetapi jiwanya masih cekal untuk memberi pendidikan kepada pelajar-pelajar yang kosong mindanya seperti saya. Hormat saya terhadapnya agak besar kerana beliau mampu berdiri dua jam untuk setiap minggu sambil menyampaikan ilmu kepada kami, ibarat ilmunya tidak berhenti mengalir kepada kami. Oleh sebab itu, banyak yang telah saya pelajari daripada subjek ini.
Sementara itu, saya seorang yang tidak membaca berita dan malas membaca. Sejak dari dulu lagi, saya cuba untuk meminatkan diri untuk membaca berita dan mengambil tahu tentang apa yang terjadi disekeliling. Oleh sebab itu, saya amat bersyukur dengan cara Dr. Hassan mengajar kami kerana beliau sering menanyakan jika tahu sesebuah berita tentang apa yang berlaku pada sesuatu tempat. Hal ini membuatkan saya rasa malu dan ingin mengambil tahu sebanyak yang boleh. Selepas beberapa minggu kuliah, saya dapat merasakan perbezaan dalam pengetahuan saya, saya mula membaca berita di telefon pintar saya. Lebih-lebih lagi sekarang telah wujudnya surat khabar atas talian, tidak perlu lagi ke kedai untuk membelinya. Dengan ini, saya mula perlahan-lahan menanamkan rasa minat membaca. Sebelum ini, konsep-konsep di Malaysia yang telah diperkenalkan bertahun lama pun saya tidak tahu dan tidak pernah mahu mengambil tahu. Kadangkala, rakan saya bertanyakan tentang sesuatu berkaitan Malaysia, saya hanya gelak dan berkatakan bahawa saya tidak tahu apa-apa. Namun, saya sudah mula membaca dengan lebih mendalam dan mengambil berat dengan isu semasa di negara ini.
Seterusnya, pada 29 November 2019, kami satu seksyen telah mengadakan program melawat ke Rumah Anak Yatim Raudhatul Maryam sebagai projek untuk subjek ini. Untuk projek ini, saya telah dilantik sebagai bendahari. Saya fikirkan bahawa bendahari hanyalah menjaga duit dengan amanah, malah disebabkan projek ini saya telah belajar bahawa bendahari juga menjaga hal kewangan untuk menentukan bajet dan sponsor. Tanggungjawab saya agak berat kerana saya hendaklah amanah dalam menjaga wang-wang tersebut, sekiranya kurang walaupun sesen, saya boleh dikenakan hukuman yang berat kerana tidak amanah. Tambahan pula, projek ini melibatkan anak yatim. Tujuan program ini adalah untuk memberi kasih dan sayang kepada anak yatim yang tidak pernah rasa kasih dan sayang dari keluarga mereka. Di samping itu, ia juga untuk memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar supaya lebih menghargai ibu bapa masing-masing sementara mereka masih ada. Oleh itu, dengan hanya program ini, banyak yang saya pelajari kerana aktiviti yang kami anjurkan juga menyampaikan pengajaran-pengajaran yang penting kepada anak-anak yatim dan juga kami.
Menyedar hakikat di atas, saya bersyukur kerana telah hadir ke setiap kuliah untuk subjek ini. Hal ini demikian kerana dalam satu kuliah sahaja saya boleh menerima ilmu yang tidak terkata banyaknya. Selepas ini, saya akan cuba kekalkan prestasi dalam mencari ilmu walau di luar kuliah kerana ilmu bukan sahaja berada di dalam kuliah, tetapi ilmu itu seluas-luas langit dan kita kena mencari ilmu itu tanpa henti.