UHIT2302-38 PEMIKIRAN SAINS DAN TEKNOLOGI

Aktiviti Dalam Kuliah (ePortfolio 2)

Maksud sains dan teknologi

Sains dan teknologi ialah satu subjek atau topik yang merangkumi aspek-aspek sains, teknologi dan hubungan antara kedua-dua aspek berikut.

Sains ialah perusahaan sistematik yang membina dan menyusun ilmu-ilmu pengetahuan dalam satu bentuk penerangan dan ramalan tentang alam semula jadi dan alam semesta.

Teknologi pula ialah pengumpulan teknik, kaedah atau proses yang digunakan dalam pengeluaran barangan atau perkhidmatan atau dalam pencapaian objektif, seperti penyiasatan saintifik atau apa-apa permintaan pengguna yang lain.

 

Bagaimanakah hubungan S&T dengan manusia mengalami evolusi?

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa hubungan Sains & Teknologi dengan manusia telah mengalami satu evolusi atau perubahan yang sangat ketara terutama sekali dalam etika dan peradaban manusia.

Kita boleh lihat satu contoh iaitu Revolusi Industri 4.0 yang telah mengubah cara hidup manusia dan budaya masyarakat setempat. Dalam erti kata lain, hidup manusia akan dipermudahkan dengan bantuan robot yang bakal menjadi ”kawan” yang akan menguruskan hal ehwal dan tugasan harian. Walaupun teknologi-teknologi ini masih dalam peringkat pengujian di peringkat global, banyak aplikasi yang digunakan telah pun kita nikmati. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps yang menyediakan pemandu tentang maklumat laluan serta perjalanan adalah antara bibit-bibit awal kepada pengenalan dunia yang dipanggil Internet of Things (IoT).

 

Dwarka: Atlantis of the East

Dokumentari  Dwarka: Atlantis of the East ini membincangkan misteri sebuah bandar yang tenggelam di dalam lautan yang terletak bersebelahan Dwarka, India. Amish Shah, seorang usahawan dan pemburu harta karun, mempunyai rasa ingin tahu  yang membuak-buak dalam diri beliau apabila mengetahui bahawa terdapat usaha-usaha penggalian untuk mencari tamadun silam di Dwarka, namun usaha-usaha tersebut diberhentikan oleh kerajaan India. Menurut kajian beliau, usaha penggalian tersebut diajalankan pada tahun 1960an sehingga 1990an oleh kerajaan India tetapi beliau ingin mengambil tahu tentang sebab-sebab kerajaan India memberhentikan usaha tersebut.

Amish Shah menggunakan kajian yang menggunakan kaedah saintifik seperti menterjemah teks-teks kuno dan membuat rujukan astronomi berdasarkan teks-teks kuno tersebut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bandar yang tenggelam tersebut. Beliau mendapati bahawa terdapat beberapa rujukan yang menyebut Dwarka, serta beberapa rujukan yang menyebut tentang mesin terbang, atau lebih dikenali sebagai Vimana. Menurut Michael Cremo, penyelidik dari Amerika Syarikat, Vimana digunakan untuk menyerang bandar Dwarka tetapi Krishna telah menjatuhkan Vimana dan telah jatuh tenggelam di pantai bersebelahan Dwarka.

Amish juga mengajukan persoalan berkaitan pembangunan pada zaman tersebut. Jika benar bandar itu wujud seperti yang tertulis dalam Mahabrata, bagaimanakah masyarakat kuno mampu membina sebuah bandar yang mempunyai bangunan pencakar langit? Bagaimanakah teks-teks kuno mempunyai penerangan secara terperinci teknologi moden yang boleh kita lihat pada zaman sekarang seperti kapal roket, senjata ray dan mesin terbang? Jika betul teks-teks kuno ini merupakan mitos semata-mata, bagaimanakah pengarang teks-teks kuno yang dikaji mampu menerangkan secara terperinci tentang apa yang berlaku pada Lord Krishna dan bandar Dwarka yang disyaki tenggelam?

Amish mempuat kesimpulan bahawa langkah seterusnya dalam mengkaji tamadun silam adalah dengan membuat lebih banyak kajian dan menyebarkan kesedaran tentang kepentingan mengetahui dan memahami sejarah tamadun silam. Beliau juga mengajak untuk memberikan tekanan kepada kerajaan India untuk membuat lebih banyak galian bawah air di Dwarka supaya kita akan lebih tahu dan faham tentang bandar yang tenggelam tersebut.