Program “Beach Getaway” telah berjaya dijalankan selama 2 hari 1 malam pada 14-15 Februari 2020 di Teluk Gorek, Mersing. Seramai 25 orang peserta termasuk ahli AJK program telah menyertai program ini. Saya sebagai pemegang jawatan pengarah program bersama-sama AJK program telah berjaya melaksanakan program ini seperti yang dirancang. Pada awalnya program ini hampir dibatalkan oleh sebab kurang mendapat sambutan. Sasaran peserta yang telah ditetapkan untuk program ini adalah seramai 50 orang tetapi yang berdaftar hanya 25 orang sahaja, iaitu separuh daripada sasaran program.
Walaupun begitu, program ini boleh dikatakan sebagai berjaya kerana kelancarannya sepanjang program berjalan dan maklum balas yang baik dari para peserta. Saya dapati bahawa punca program ini kurang mendapat sambutan adalah kerana yuran pendaftarannya yang agak mahal pada awalnya. Yuran pendaftaran yang mahal adalah kerana kami merancang untuk membuat tempahan baju untuk semua peserta. Tetapi disebabkan oleh kurang peserta, kami terpaksa membatalkan tempahan tersebut. Setelah berbincang dengan bendahari, kami telah membuat kata putus untuk mengurangkan yuran pendaftaran tersebut iaitu daripada RM65 kepada RM45. Dengan RM45 termasuk t-shirt percuma, pengangkutan, makanan dan penginapan selama dua hari satu malam. Kami menggunakan semula baju berlebihan program sebelum ini (Fugitive Run) untuk diberikan secara percuma kepada peserta (thinking skills). Alhamdulillah program berjalan dengan lancar dan dengan jayanya terima kasih kepada AJK dan juga kepada para peserta yang turut menyokong program ini.