Refleksi Kendiri

Misi Pasca Banjir 2021 merupakan kali pertama dalam hidup saya mengetuai satu program kemasyarakatan yang besar melibatkan orang awam, pelajar dan juga kakitangan dari Universiti Teknologi Malaysia. Apabila tiba di lokasi kejadian, saya dapat melihat rumah-rumah yang terkesan teruk akibat banjir yang berlaku. Ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk memimpin pasukan sukarelawan kali ini untuk membantu mereka yang memerlukan. Sepanjang program ini berlangsung, saya telah belajar untuk mempunyai tahap komunikasi yang lebih baik dimana saya perlukan membahagikan tugas, menyampaikan arahan dan maklumat dengan jelas supaya pasukan sukarelawan dapat bergerak dengan lancar dan efisen. Selain daripada itu, misi banjir ini juga telah melatih diri saya untuk bersikap lebih matang dalam membuat sebarang keputusan terutama sekali apabila mengetuai satu kumpulan yang besar dan terdiri dari pelbagai latar belakang. Untuk menunjukkan sikap seorang pemimpin yang baik, saya tidak lepas tangan dalam membantu rakan-rakan sepasukan yang lain untuk bersama-sama menjayakan misi pasca banjir ini. Berat sama dipikul , ringan sama dijinjing. Itulah situasi kami ketika bersama-sama mengerah keringat bagi membantu meringankan beban insan yang terkesan dalam bencana banjir tersebut. Tidak lupa juga, pada misi banjir ini, kami berpeluang untuk bersama-sama menghulurkan bantuan keperluan harian kepada mereka yang memerlukan. Kesimpulannya, Misi Pasca Banjir 2021 ini telah benyak mengajar saya untuk menjadi insan yang lebih terbaik pada masa akan datang.