Bab ini membincangkan definisi etika dan peradaban , etika daripada perspektif individu, etika daripada perspektif masyarakat, etika daripada perspektif negara, etika daripada perspektif sejagat , prinsip asas etika dan penghayatan.
Peradaban dikaitkan dengan “tamadun” dari bahasa arab. Etika merupakan nilai kepada masyarakat berperadaban dan ia adalah seiring dengan peradaban kerana masyarakat bertamadun dikaitkan dengan masyarakat beradab. Dalam perspektif peradaban barat, etika berasal dari perkataan Greek “ethos” dan ia merupakan satu set prinsip-prinsip moral yang menentukan sesuatu tindakan adalah betul atau salah.
Dalam perspektif peradaban india, etika dikenali sebagai ‘nitisastra’ (Bahasa Sanskrit) yang merupakan sebahagian daripada konsep “Rta”. Konsep “rta” dikaitkan dengan konsep melaksanakan perintah dan peraturan yang dikenali sebagai “dharma” dan konsep tindakan manusia yang menuruti perintah tersebut yang dipanggil sebagai “karma”.
Dalam perspektif peradaban China, etika adalah berdasarkan takrifan confucius. Etika ialah nilai kebaikan berasaskan lima prinsip utama ‘wuchang’ iaitu ‘ren’ (kebajikan dan kemanusiaan), ‘yi’ (kebenaran atau keadilan), ‘li’ (cara yang betul), ‘zhi’ (pengetahuan) dan ‘xin’ (integriti).
Dalam perspektif peradaban arab , etika adalah tingkah laku yang menggambarkan sifat dan budi pekerti dalam melakukan sesuatu perkara dan sentiasa berasaskan kepada ajaran Islam berdasarkan kepada Al-Quran dan hadith.
Sebagai individu, etika itu menjadi panduan hidup mereka demi mencapai matlamat mereka. Sebagai masyarakat, etika menjadi panduan kepada masyarakat untuk membentuk tingkahlaku individu dalam masyarakat berkenaan. Sebagai rakyat , kita haruslah mengamalkan nilai-nilai etika dan moral.Pelanggaran terhadap nilai etika dan moral berkenaan akan berhadapan dengan tindakan undang-undang Negara. Etika sejagat yang diterima dan diamalkan di peringkat antarabangsa,dikatakan dapat mencegah kekerasan keganasan antara manusia kerana mempunyai pelbagai standard etika yang boleh diaplikasikan kepada semua manusia tanpa mengira kaum, budaya, agama, jantina, kumpulan umur, politik, kelas sosial atau ekonomi.
Kesimpulannya, Setiap tamadun mempunyai maksud dan interpretasi etika yang tersendiri dan etika dalam setiap tamadun ini mementingkan tingkahlaku dan pemikiran manusia dalam membezakan perkara baik dan buruk.