KIDS AND GADGETS

Dewasa ini, teknologi semakin hari semakin canggih. Teknologi telah membawa dan menyumbang Negara kita ke arah yang lebih maju dan berkembang. Perkembangan teknologi yang semakin canggih dan berkembang ini juga telah mempengaruhi pola kehidupan manusia dari pelbagai segi kehidupan mereka seperti pengurusan masa. Salah satu perkembangan teknologi yang mempengaruhi pikiran manusia adalah gajet. Gajet adalah alat komunikasi moden yang semakin mempermudahkan kegiatan komunikasi manusia. Kini kegiatan komunikasi telah berkembang dan semakin maju dengan munculnya gajet. Contoh terbaik gajet adalah telefon bimbit. Kemajuan dalam komunikasi terbukti dengan adanya telefon bimbit malah kini, sambungan internet boleh digunakan secara meluas hanya menggunakan telefon bimbit. Namun setiap teknologi yang telah diinovasikan sudah semestinya boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan. Telefon bimbit juga tidak lari dari kenyataan tersebut. Telefon bimbit telah diguna meluas oleh setiap lapisan masyarakat tidak kira gologan tua mahupun golongan muda. Boleh dikatakan setiap daripada mereka mempunyai sekurang-kurangnya satu telefon bimbit. Terlalu kerap bermain dengan gajet boleh menyebabkan ketagihan. Ketagihan terhadap gajet semakin meluas dan kini ia sangat sinonim dengan aktiviti harian masyarakat Malaysia. Ketagihan itu bukan sahaja dirasai golongan dewasa tetapi kanak-kanak juga turut menerima tempiasnya. Hal ini menjadi kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan samada dari segi fizikal atau mental bagi anak-anak mereka.

Dalam meniti arus kemodenan ini, kebanyakan ibu dan bapa di luar sana menggunakan gajet untuk menarik perhatian anak-anak mereka. Ibubapa menggunakan telefon bimbit sebagai penjaga mereka di saat ibubapa sibuk melakukan hal dirumah. Sebagai contoh, peranti ini mampu memujuk anak-anak yang meragam supaya anak-anak duduk diam dan tidak menggangu urusan ibu bapa sama ada di rumah atau di luar rumah. Ada di kalangan ibu bapa yang berasa bangga sekiranya anak mereka mampu untuk membuat carian di internet atau “youtube‟ tanpa pantauan mereka. Ada daripada mereka memberi anak-anak mereka bermain dengan gajet bertujuan untuk mendidik anak-anak dengan cara yang lebih efektif seperti memberi anak-anak mereka menonton video-video yang mungkin berkenaan dengan pembelajaran moral atau intelektual menerusi gajet. Namun adakah teknologi ini baik ataupun  tidak untuk digunakan sebagai alat pembelajaran kanak-kanak ataupun lebih sesuai menerapkan pe­ngajaran secara tradisional, iaitu menggunakan pensel, pensel warna dan kertas? Sebenarnya pendedahan teknologi seperti ini kepada kanak-kanak menyebabkan mereka lebih mudah faham dan cepat belajar melalui imej yang bergerak dan bunyi. Ia juga membantu perkembangan intelektual dan pemahaman kanak-kanak. Aplikasi yang digunakan sebagai alat pembelajaran juga dapat memberi kelebihan kepada kanak-kanak kerana selalunya ia lebih menarik, tidak membosankan dan mudah bagi kanak-kanak untuk belajar secara sendiri.

Namun, tanpa kita sedari sebenarnya memberi pendedahan kepada golongan kanak-kanak di awal usia mereka boleh mendatangkan keburukan kepada mereka. Sememangnya jika menggunakan gajet untuk pembelajaran sudah pastinya tiada masalah, namun adakah mereka akan belajar sepanjang masa?tidak jika mereka menggunakan gajet untuk menghilangkan bosan mereka dengan meluangkan masa menonton video-video didalam gajet-gajet yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Hal ini boleh menyebabkan mereka menjadi obsess untuk bermain dengan gajet. Ketagihan gajet yang melampau boleh mendorong kanak-kanak menjadi kurang aktif. Sudah menjadi kebiasaan kanak-kanak untuk terus bergerak, berlari, melompat, menari dan bermain untuk membantu pertumbuhan fizikal yang sihat dan juga kuat. Namun kanak-kanak yang telah didedahkan dengan gajet lebih memilih untuk bermain dengan gajet berbanding melakukan sesuatu yang menggunakan tenaga. Hal ini disebabkan oleh mereka terlalu selesa bermain dengan gajet yang sudah semestinya akan  mendorong mereka menjadi tidak aktif, dan ini tentu memiliki kesan buruk buat mereka. Jika hal ini berterusan, kanak-kanak ini boleh menjadi ketagihan terhadap gajet dalam diri mereka  dan akan memberi kesan terhadap pembesaran dan gaya hidup mereka kelak.

Selain itu, terlalu lama menggunakan gajet dan kerap menatap layar skrin dapat membuat kanak-kanak sukar fokus dalam jangka waktu lama pada sesuatu perkara. Kajian lepas mendapati kanak-kanak di bawah umur 2 tahun yang dibiarkan menonton rancangan di TV akan mengalami efek negatif yang lama pada perkembangan bahasa, skil membaca dan ingatan memori jangka pendek. Kesan menonton TV pada umur 2 tahun pertama juga akan mengganggu tidur dan tumpuan anak-anak apabila mereka meningkat dewasa. Statistik pada tahun 2014 daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan bahawa 3.9% kanak-kanak yang baru bersekolah sudah memiliki telefon bimbit dan umur terawal pemilikan gajet adalah kanak-kanak yang berumur 5 tahun. Kajian di Malaysia yang ada dilaporkan dalam sebuah mesyuarat ECCE Council baru-baru ini menyatakan bahawa 10 tahun dahulu, kadar masa fokus bagi pelajar di dalam kelas adalah 13 minit. Tetapi pada era ini, kadar masa fokus telah pun jatuh pada hanya 4 saat. Ramai guru yang telah mengadu tentang wujudnya permasalahan mengawal anak murid dalam kelas, dan inilah antara puncanya iaitu terlalu banyak didedahkan dengan pelbagai jenis gajet, tanpa pengawalan yang serius (Putri Afzan, 2015).

Memang tidak dinafikan dari satu pandangan, pemberian gajet kepada kanak-kanak boleh menyebabkan pelbagai permasalahan kepada perlakuan kanak-kanak, seperti perlakuan anti-sosial, sebagai contoh.Namun jika dilihat disebaliknya, gajet juga turut boleh membantu kanak-kanak belajar, jika digunakan dengan sewajarnya dan diawasi. Ia juga turut boleh mengajar kanak-kanak cara untuk berkomunikasi jika ibubapa memanafaatkan sepenuhnya. Sebenarnya ibubapa memainkan peranan besar dalam menangani, mencegah atau mengawal daripada perkara buruk yang bakal berlaku jika anak-anak mereka tidak mahu berenggang dengan gajet. Persoalannya , bagaimana mereka selaku ibubapa boleh mengawal atau mengajar kanak-kanak untuk menggunakan kemudahan gajet seperti telefon bimbit dengan sebetulnya? Sebagai ibubapa kita haruslah sedar bahawa kita merupakan ‘role model’ kepada anak-anak ketika di rumah, setiap perlakuan kita sedikit sebanyak akan mempengaruhi anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibubapa hendaklah mengurangkan penggunaan gajet di hadapan anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka akan mengikut teladan yang dibuat oleh ibubapa mereka. Intihanya, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak supaya mereka tidak terpengaruh dengan perkara-perkaran yang tidak sepatutnya.

Seterusnya, ibubapa boleh membuat peraturan bagi anak-anak untuk menggunakan gajet ketika berada di rumah ataupun luar rumah. Ibubapa perlu melarang anak-anak menggunakan gajet ketika waktu makan dan waktu membuat kerja sekolah adalah dilarang sama sekali. Masa sebelum waktu tidur juga turut tidak dibenarkan kerana terdapat permainan-permainan di dalam gajet yang boleh menyebabkan kanak-kanak semakin bersemangat lalu menyebabkan mereka sukar untuk tidur. Tambahan lagi, ibu bapa perlu menetapkan masa yang sesuai dan tempoh masa yang tertentu untuk anak-anak menggunakan gajet. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan cara ini ketagihan kanak-kanak terhadap gajet-gajet dapat dicegah. Hal ini jika tidak di kawal penggunaan gajet terhadap anak-anak, mereka boleh menggunakan gajet sehingga berterusan tanpa makan dan minum malah lebih membimbangkan lagi jika permasalahan ini memberi impak kepada pola pembesaran mereka. Sebenarnya perkara yang paling penting di dalam usaha untuk mencegah kanak-kanak daripada obses dengan ke semua jenis gajet adalah peranan ibu bapa. Perkara ini dapat diatasi sekiranya ibu bapa turut campur tangan dengan mengawal penggunaan gajet di dalam kehidupan seharian anak-anak mereka. Ibu bapa mungkin perlu meluangkan lebih perhatian kepada anak-anak agar segala permasalahan dapat dielakkan. Dengan berbuat demikian, segala perilaku anak-anak dapat dikawal dan tidak mendorong kepada permasalahan ketagih kepada gajet-gajet berteknogi tinggi itu.

Walau bagaimanpun, apa yang menyedihkan adalah apabila sesetengah ibu bapa bersikap lepas tangan dan hanya memandang enteng perkara ini. Mereka berkemungkinan tidak merasa bahawa menggunakan gajet sebagai pengganti mereka bagi anak-anak mereka adalah satu kesalahan. Adakah mereka mahu melihat kesan buruk berlaku kepada anak-anak mereka terlebih dahulu dan baru mahu membuka langkah? Semestinya tidak, kita sebagai golongan yang lebih matang perlu memandang serius permasalahan ini kerana kanak-kanak adalah generasi baharu yang akan memimpin Negara pada suatu ketika nanti. Ibu bapa perlulah peka terhadap faktor yang mungkin menyebabkan anak-anak menjadi obses atau ketagih dengan gajet-gajet. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan mengetahui punca-punca tersebut ibu bapa boleh mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan daripada permasalahan ini berlaku. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu tahu tentang tanda-tanda yang mungkin menunjukkan bahawa anak-anak telahpun ketagih dengan gajet dan perlu di rawat segera. Tanda yang mungkin menunjukkan ketagihan anak-anak adalah seperti mereka menjadi semakin pasif contohnya mereka semakin malas bermain di luar rumah dan mereka lebih cenderung untuk duduk di rumah dan bermain dengan gajet.

Kesimpulannya, teknologi gajet mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri namun bergantung kepada cara kita menggunakannya dan memanfaatkannya yang akan menentukan samada kesan baik atau buruk yang akan berlaku. Sudah semestinya perkara yang paling di bimbangkan adalah apabila kesan buruk itu dialami oleh kanak-kanak di usia muda mereka yang mungkin akan menyebabkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku apabila mereka meningkat dewasa. Oleh itu, sebagai orang yang bertanggungjawab seperti ibu bapa perlulah mengawasi setiap perlakuan anak-anak mereka sedari kecil dalam penggunaan gajet lebih-lebih lagi pada zaman moden ini yang telah wujud internet yang boleh melepasi segala sempadan. Kita tidak mahu generasi yang akan datang tidak  produktif dan lebih teruk lagi tidak berguna kepada masyarakat, bangsa dan Negara, kita mengharapkan agar kanak-kanak dari generasi baru inilah yang akan memimpin Negara dan terus membangunkan Negara dalam pelbagai segi. Kita tidak mahu generasi baru yang akan datang adalah generasi yang  malas, kurang aktiviti luar, leka pada alam maya, pelajaran terabai, kurang kemahiran insaniah, cetek pengetahuan am dan pemikiran terganggu. Adakah kemerdekaan atau kemajuan Negara dapat dikekalkan jika generasi sebegitu rupa di lahirkan di Negara ini? Adakah mereka akan menyumbang kepada Negara? Persoalan ini akan selesai jika generasi begitu tidak wujud di masa akan datang. Sebenarnya kesan buruk tidak mengenal usia, namun cara kita menggunakan gajet adalah suatu perkara yang perlu dititikberatkan .

 

Rujukan