LATIHAN EVOLUSI KAPAL BERSAMA PASUKAN KHAS LAUT PASKAL DAN PELAYARAN KAPAL TLDM

Latihan Evolusi Kapal Bersama Pasukan Khas Laut Paskal Dan Pelayaran Kapal Tldm RSS

Tempat: Markas Pangkalan Lumut,Tldm

Tarikh: 28 Oktober -1 November 2020

Jawatan: Pegawai Kadet

LATIHAN EVOLUSI KAPAL BERSAMA PASUKAN KHAS LAUT PASKAL DAN PELAYARAN KAPAL TLDM

Pada 28 Oktober hingga 1 November yang lepas, Palapes Laut UTM telah mengadakan latihan berterusan di Pengkalan TLDM Lumut, Perak. Latihan ini telah disertai oleh Leftenan Madya Wan Nurul Diyana Binti Ramli PSSTLDM (Pegawai Koordinasi UTM), 97 orang pegawai dalam latihan (PDL), 4 orang subby dan 7 orang jurulatih. Latihan ini telah diadakan bagi memberikan pendedahan kepada pegawai-pegawai dalam latihan dengan aktiviti-aktiviti yang tidak dapat dijalankan di sekitar kawasan universiti seperti latihan rumah asap, simulasi kebocoran pada kapal, ikhtiar hidup, melawat kapal dan sebagainya.

Pada pukul 1500H 28 Oktober, semua pegawai dalam latihan telah berkumpul di dalam dewan makan dengan membawa pakaian dan peralatan yang perlu dibawa sepanjang latihan berterusan di lumut . Semua pakaian dan peralatan ini telah diperiksa oleh subby-subby bagi memastikan kesemua pegawai dalam latihan membawa keperluan yang sewajarnya supaya dapat menggelakan dari berlaku tertinggal barang semasa di Lumut. Pada waktu malam pula, telah diadakan bacaan yasin dan doa selamat sebelum berangkat dari UTM ke Lumut. 2 buah bas UTM dan sebuah bas TLDM telah diperuntukkan untuk membawa kesemua peserta dan peralatan. Bas-bas ini telah bertolak ke Lumut pada pukul 11 malam. Sepanjang perjalanan, bas telah berhenti sebanyak dua kali iaitu di Perhentian Rehat dan Rawat Dengkil dan sebuah surau di Teluk Intan untuk menunaikan solat Subuh.Kami telah bersarapan di Perhentian Rehat dan Rawat Dengkil supaya kami tidak berkelaparan apabila kami sampai disana nanti.
Setibanya kami di Pangkalan TLDM Lumut pada pagi 29 Oktober, kami telah diberitahu oleh jurulatih untuk dibahagikan kepada dua awasan iaitu awasan merah dan hijau. Awasan hijau telah diarahkan untuk terus ke Sekolah CBRNDC iaitu dikenali sebagai Chemical Biological Radiological And Damage Control untuk menjalani latihan rumah asap. Pada mulanya, kami diarahkan untuk memasuki rumah asap tersebut tanpa sebarang pakaian perlindungan,kami berfikir hanya asap biasa sahaja akan tetapi asap telah membuatkan kami serta para pegawai dalam latihan berasa sakit serta pedih sehingga air mata kami tidak henti mengalir. Kami cuba menahan nafas tetapi tidak berjaya lalu terhidu asap dalam rumah tersebut. Asap yang dihidu ini dikhabarkan oleh jurulatih CBRNDC di situ sebagai asap gas pemedih mata yang biasa digunakan pihak polis untuk menyuraikan perhimpunan haram. Asap ini sangat pedih apabila dihidu dan meninggalkan rasa panas pada kulit. Kami dihimpunkan selama 1 minit di dalam rumah asap tersebut sebelum dibenarkan keluar. Kami telah diarahkan untuk duduk dalam sebuah kelas terbuka selepas itu untuk mendengar taklimat mengenai bahan kimia berbahaya dan bahan kimia tidak berbahaya. Kami juga telah diperkenalkan dengan peringkat pemakaian sekiranya berlaku peperangan kimia dan biologi. Antara peringkat pemakaian yang diajar ialah pemakaian top 1 iaitu pemakaian asas seperti Pakaian Operasi Digital dan 2 Alfa. Seterusnya ialah pemakaian top 2 iaitu pakaian khas beserta beg AGR. Akhir sekali ialah pemakaian top 3 iaitu pakaian lengkap NBC dan AGR dipakai. Kami telah diberi peluang untuk memakai pemakaian top 3 lalu diarahkan oleh jurulatih untuk berlari sekitar kawasan sekolah CBRNDC dan kawasan TANGKAS. Majoriti daripada kami mengalami kesukaran bernafas apabila berlari sambil memakai AGR kerana peratus udara yang disedut telah ditapis oleh topeng muka tersebut. Setelah selesai berlari, kami telah diarahkan semula untuk memasuki rumah asap beserta pemakaian top 3. Pada mulanya kami agak takut tetapi apabila telah masuk, walaupun agak sukar bernafas dengan alat AGR tersebut, kami tidak berasa pedih bernafas kerana alat tersebut menapis asap dalam bilik tersebut.Alat AGR yang telah kami pakai amat berkesan sekali apabila kami Berjaya nafas dengan dalam rumah asap tesebut. Setelah melakukan beberapa acara di dalam bilik asap tersebut, kami disuruh oleh jurulatih yang bertugas di situ untuk membuka AGR yang kami pakai. Setelah membukanya, kami cuba sedaya upaya untuk menahan nafas akan tetapi tidak berjaya lalu kami terhirup udara dalam bilik tersebut,lalu kami terbatuk serta pedih dah jelas bahawa asap yang disediakan kali ini lebih kuat berbanding asap yang disediakan pada kali pertama kami memasuki bilik tersebut.Ini adalah pengalaman terbaik untuk dinikmati apabila latihan di sini.
Pada belah petang pula, kami telah menghadiri kelas pengenalan mengenai tupang di kelas terbuka TANGKAS. Kami telah didedahkan dengan jenis jenis tupang dan fungsinya. Antara tupang yang telah kami pelajari ialah tupang vee, tupang tegak dan tupang empat segi. Selain tupang, kami juga telah didedahkan dengan Standing Sea Emergency Party dan Harbour Fire Emergency Party. Selepas selesai pelajaran teori, kami telah menjalani latihan praktikal di atas simulasi kapal. Di situ, kami ditugaskan untuk menahan kebocoran pada bahagian kapal dengan tupang-tupang yang disediakan. Awasan kami gagal mendirikan tupang tegak tetapi berjaya mendirikan tupang segi empat. Di akhir latihan dalam simulasi tersebut, air dalam kapal simulasi tersebut telah mencecah paras leher kami.Walaupun kami gagal untuk menahan kebocoran pada bahagian kapal tapi kami berasa seronok apabila kami dapat merasai pengalaman sebegini rupa.
Pada keesokan harinya, iaitu pada 30 Oktober, kami telah melawat KD Panglima Hitam iaitu pusat latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL). Pada waktu pagi, kami telah ditempatkan di dewan seminar bagi mendengar taklimat daripada seorang pegawai waran 1 yang telah berkhidmat di KD Panglima Hitam melebihi 20 tahun.Ini telah menerujakan kami apabila sampai kesini.Pelbagai info telah diberikan oleh beliau mengenai PASKAL. Seusai taklimat, kami diberikan ruang untuk sesi soal jawab. Kami menggunakan kesempatan ini untuk bertanya kepada beliau tentang kemusykilan kami berkaitan PASKAL. Selepas itu, kami telah dibawa ke galeri PASKAL yang menempatkan gambar-gambar operasi yang pernah disertai PASKAL. Turut disertakan ialah pakaian-pakaian dan senjata-senjata yang digunakan ketika operasi. Pada bahagian petang, kami telah menyertai program survival yang dianjurkan oleh pegawai-pegawai PASKAL. Antara perkara yang dipelajari kami termasuklah jenis-jenis tumbuhan yang boleh serta tidak boleh dimakan yang biasa dijumpai di sekitar hutan. Kami juga berpeluang mempelajari tentang cara menghidupkan api menggunakan habuk pokok mudim. Di akhir sesi bersama mereka, kami telah dihidangkan dengan pulut dalam kelapa dan ayam yang dimasak di dalam buluh. Biarpun makanan ini biasanya dimasak ketika dalam keadaan ikhtiar hidup, tetapi rasanya sangat sedap terutamanya pulut dalam kelapa sangat ,menyelerakan dan sedap sekali.Selepas itu,kami telah pergi aktiviti seterusnya pada waktu sebelah petang iaitu rempuh halangan dan rappelling,dua2 acara sangat menyeronokan sambil mendengar cerita dari ahli-ahli paskal itu sendiri.Bahagian aktiviti rappelling pada mulanya saya amat gayat sekali untuk memcubanya akan tetapi aktiviti Berjaya saya laksanakan dengan sempurnanya.
Pada hari terakhir kami di Pengkalan TLDM Lumut, kami telah dibahagi kepada dua awasan sekali lagi iaitu awasan hijau dan merah. Awasan hijau telah ditempatkan untuk melawat KD Mahawangsa manakala awasan merah ditempatkan untuk melawat KD Sri Indera Sakti. Kami telah dibawa mengelilingi kapal diiringi oleh seorang LLP berpangkat stap. Kami perasan bahawa stap tersebut mempunyai sebuah lencana pada poket hadapan baju POD miliknya. Stap tersebut menceritakan bahawa die memperoleh lencana tersebut hasil daripada keberaniannya menyelamatkan seorang orang awam yang ditelan arus ketika memancing di sekitar kawasan pelabuhan. Atas keberaniannya menyelamatkan mangsa, stap tersebut telah dikurniakan anugerah panglima sekaligus memperoleh lencana tersebut.Kami telah diperkenalkan oleh stap tersebut dengan lebih dekat lagi dengan KD Mahawangsa. Antara biodata KD Mahawangsa yang sempat kami catat ialah kapal ini dinamakan bersempena dengan Merong Mahawangsa, pengasas kerajaan Kedah Tua.Akhir sekali kami,beli sedikit cenderahati untuk diri sendiri sebagai kenangan semasa di KD Mahawangsa.

Details