Webinar IAMUSAHAWAN Siri Kedua

Webinar IAMUSAHAWAN Siri Kedua RSS

Penerangan ringkas: Webinar ini menerangkan serba sedikit tentang keusahawanan serta memberi tips-tips dan menceritakan kisah-kisah inspirasi serta perkongsian tentang perjalanan penceramah dalam bidang bisnis dan keusahawanan.

Penceramah jemputan: En. Abu Hassan Al Basri

Tarikh: 28 November 2020

Tempat: Favebook Live

Dianjurkan oleh: Kelab Mahasiswa Pemadam UTM dengan kerjasama Pusat Kaunseling UTM

Peranan: Peserta

Pengenalan

Pada tarikh 28 November 2020, saya telah menyertai sebuah program yang bertajuk Webinar IAMUSAHAWAN Siri kedua telah berlangsung. Program tersebut berlangsung pada hari Sabtu pukul 2.30 petang dan berlangsung selama satu jam. Program ini dianjurkan oleh Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM dengan kerjasama Pusat Kaunseling UTM. Medium yang digunakan oleh penganjur untuk berhubung dengan peserta adalah melalui Facebook Live. Manakala medium yang digunakan oleh penganjur untuk berhubung dengan penceramah jemputan pula ialah melalui aplikasi StreamYard. Webinar IAMUSAHAWAN ini merupakan siri yang kedua yang dijalankan oleh Kelab Mahasiswa PEMADAM ini.

 

WhatsApp Image 2020-12-01 at 23.55.56.jpeg

 

              Siri pertama bagi webinar ini telah dilangsungkan pada awal bulan November yang lalu iaitu bertarikh 7 November 2020. Saya tidak mempunyai kesempatan untuk menyertai webinar siri pertama atas sebab-sebab tertentu. Jadi, saya merasa amat teruja untuk menyertai webinar IAMUSAHAWAN siri kedua ini. Laporan saya ini akan meliputi topik tentang Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM, biodata dan perkongsian penceramah, tips-tips yang diberikan oleh penceramah serta penjelasan tentang attribut siswazah (graduate attribute) yang saya peroleh melalui program ini.

Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM

            Kelab mahasiswa Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam) UTM merupakan salah satu kelab yang bergiat aktif di dalam dan di luar UTM. Kelab ini bernaung di bawah PEMADAM Johor serta di bawah Pemadam kebangsaan. Kelab mahasiswa pemadam UTM ini telah ditubuhkan pada 30 September 2009 yang lalu. Kelab ini merupakan kelab pemadam ipt pertama yang ditubuhkan di Malaysia. Moderator yang mengendalikan program merupakan pengerusi kelab Pemadam UTM itu sendiri. Kelab ini merupakan kelab yang sangat aktif dan selalu menjalankan aktiviti-aktiviti yang menarik dan banyak memberi dan berkongsi informasi-informasi yang berguna.

Biodata penceramah jemputan

Penceramah jemputan pada program ini ialah saudara Abu Hassan Al Basri. Beliau merupakan salah seorang pelajar UTM dan Sarjana Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan sekarang masih berusaha berumur 25 tahun. Sementara beliau memulakan perniagaan dan perusahaannya sendiri, beliau pernah bekerja sebagai formal automation engineer bertempat di syarikat Dyson pada tahun 2017 sehingga 2020. Kemudian, beliau memulakan syarikatnya sendiri pada tahun 2018. Beliau merupakan Founder dan Chief Executive Officer (CEO) kepada syarikatnya sendiri yang diberi nama ‘Inosightech’. Syarikat beliau merupakan syarikat yang dibina berasaskan teknologi dan syarikat beliau berpusat di negeri Johor serta di negeri Selangor. Agak mengejutkan bagi saya bahawa beliau telah memulakan perniagaan sendiri dan berjaya mengembangkan perniagaan beliau bermula pada umur yang masih muda. Beliau telah banyak menyertai pertandingan-pertandingan yang melibatkan ilmu perniagaan, ilmu teknologi sains serta melibatkan pengucapan awam (public speaking) samada di dalam atau di luar negara.

                  Idola beliau dari segi kebangsaan dalam memulakan perniagaan ialah James Dyson, Steve Jobs dan Jack Ma. Beliau sangat mengagumi idola-idola beliau atas kisah-kisah inspirasi daripada idola-idola itu sendiri. Beliau juga mengagumi kenalan alumninya daripada UTM sendiri yang telah Berjaya mendapat anugerah Forbes under 30 iaitu berjaya menjadi entrepreneur terkemuka dunia iaitu Arif Tukiman. Dari segi syarikat local yang bersar, beliau merasa kagum dengan cerita dan kisah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary atas usahanya dalam memajukan kehidupannya daripada kehidupan yang susah dan akhirnya banyak membantu orang lain serta Ustaz Ebit Lew yang telah banyak memberi kebaikan dan pertolongan kepada masyarakat.

Usahawan dan Keusahawanan

Seterusnya, usahawan (Entrepreneur) merupakan individu yang menerajui perniagaan sendiri dan berusaha untuk mengembangkan perniagaannya dari semasa ke semasa demi untuk membantu masyarat serta membantu dalam mempertingkatkan ekonomi Negara. Usahawan ini bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk masyarakat. Keusahawanan amat penting kepada negara Malaysia bagi membantu masyarat di Malaysia iaitu dengan menambah, memberi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat serta memenuhi keperluan masyarakat dalam keperluan dan urusan seharian. Keusahawanan juga penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat di dalam sesebuah negara. Usahawan-usahawan bukan hanya menjual barangan-barangan dari segi keperluan sahaja tetapi malah menerajui dari segi teknologi, perubatan dan lain-lain. Jadi, jelaslah bahawa keusahawanan itu bukan hanya memberi kebaikan kepada diri kita sendiri tetapi juga kepada orang lain iaitu masyarakat setempat yang berada berdekatan kita.

Tips: Vision Board/Dream Board

            Vision Board/Dream Board merupakan papan impian di mana keinginan dan impian yang kita inginkan dapat divisualkan segara gambaran. Gambaran tersebut boleh divisualkan dalam masa lapang dan difikirkan dalam fikiran. Gambar atau matlamat tersebut juga boleh ditulis dan ditampal di mana-mana yang berdekatan dengan kita atau boleh juga dijadikan wallpaper di computer riba atau telefon bimbit agar kita boleh lihat tujuan tersebut serta membangkitkan semangat dalam mencapat matlamat tersebut. Bagi membina papan impian ini, kita perlu ada akronim SMART. Pertama, S untuk spesifik. Kita perlu mempunyai dan menentukan tujuan yang spesifik. Kedua, M untuk ‘measurable’ iaitu boleh diukur. Ketiga, A untuk ‘achiveable’ di mana kita yakin kita boleh capai impian itu. Keempat, R untuk ‘realistic’ di mana impian itu seharunya bersifat realistic dan bukan hanya sekadar angan-angan yang mustahil untuk dicapai. Dan akhir sekali, T untuk ‘time’. Kita perlu set waktu untuk capai tujuan yang diingini. Vision board ini amat penting bagi mencapai tujuan dan matlamat kita bagi mengelakkan kita daripada tersasar daripada tujuan.

Tips: Persiapan Mental dan Fizikal

Dalam menceburi bidang keusahawanan, seseorang itu perlulah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal. Jika usahawan tidak bersedia secukupnya dari segi mental dan fizikal, usahawan mungkin menghadapi kejutan budaya apabila memulakan perniagaan, lebih-lebih lagi jika mereka tiada pengalaman dalam bidang keusahawanan yang dimulakan. Dalam banyak keadaan, didapati ramai usahawan tidak menyangka ketahanan fizikal yang diperlukan adalah sangat tinggi. Untuk memastikan usahawan dapat bertahan secara mental dan fizikal, usahawan perlu bijak dalam merancang cara mereka dalam melaksanakan pekerjaan. Keperluan menggunakan pekerja tambahan harus dirancang dari awal supaya pengagihan kerja dapat dibuat dengan baik. Usahawan juga perlu menyiapkan mental dalam menerima kritikan dan komen daripada orang lain samada kritikan positif atau negatif. Usahawan perlu menerima segala kritikan dan komen dengan minda yang terbuka bagi memperbaiki serta meningkatkan kualiti produk yang dipasarkan.

Tips: Pengurusan Masa

Pengurusan masa amat penting bukan sahaja dalam keusahawanan malah dalam pembelajaran dan dalam menjalani kehidupan seharian juga perlu untuk menguruskan masa agar masa yang dikurniakan tidak disia-siakan. Ramai manusia telah berjaya menguruskan masa dengan efektif sehingga mencapai matlamat hidup mereka. Namun, ramai juga yang masih tiada pengurusan masa yang baik. Pengendalian masa yang berkualiti memerlukan displin yang kuat serta pendirian yang teguh dalam diri setiap individu tersebut. Teknik Pengurusan Masa yang baik amat penting di kalangan mahasiswa juga sebagai usahawan sebagai panduan untuk menguruskan masa sebaik mungkin, bersistematik dan tidak terperangkap oleh kekangan masa.

Attribut Siswazah: Kemahiran Berfikir (Thinking Skills)

Segala ilmu yang saya peroleh daripada webinar ini telah membuka minda saya untuk terus maju ke hadapan. Saya perlu berfikir tentang hala tuju hidup saya serta bagaimana cara saya untuk mencapai segala matlamat saya. Saya juga perlu berfikir tentang segala strategi yang perlu dilakukan bagi mempertingkatkan taraf kehidupan saya. Saya perlu berusaha untuk memikirkan solusi kepada masalah-masalah yang saya hadapi. Selain itu, saya perlu meningkatkan daya fikiran saya agar saya dapat mengambil keputusan yang tepat. Kemahiran berfikir aras tinggi perlu diterapkan agar dapat menyelesaikan sesebuah masalah dengan lebih mudah serta dapat menghasilkan idea-idea baru yang lain daripada idea orang lain.

Attribut Siswazah: Kemahiran Keusahawanan (Entreprising Skills)

Melalui webinar ini, saya dapat mempertingkatkan ilmu keusahawanan saya yang mungkin akan saya praktikkan dalam kehidupan seharian saya selain dalam menjadi seorang mahasiswa di UTM. Saya mempunyai minat dalam keusahawanan sejak dari sekolah menengah lagi namun tidak mempunyai keyakinan dalam menceburi bidang tersebut. Saya perlu mengumpulkan segala keyakinan dan kepercayaan di dalam diri saya bagi memasuki alam keusahawanan. Bidang keusahawanan merupakan bidang yang amat diperlukan dalam membangunkan industri di Malaysia. Peluang yang diberikan oleh bidang ini amat besar.

Attribut Siswazah: Kemahiran Kepimpinan dan Berpasukan (Leadership and Teamworking Skills)

Dalam mengembangkan usaha perniagaan, sudah pasti akan melibatkan pekerja-pekerja dan kerjasama dengan sesebuah organisasi yang lain. Untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya, seseorang itu perlulah menjaga cara berkomunikasi dengan pihak atasan serta mengawal cara berkomunikasi dengan pihak-pihak yang lebih bawah. Melalui webinar ini, saya dapat ilmu untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat. Pemimpin yang hebat perlulah sentiasa bersikap positif dan sentiasa mengambil perhatian terhadap pekerja-pekerja yang bekerja dengannya serta rakan sepasukannya. Menjadi seorang pemimpin merupakan sebuah amanah dan akan menanggung tanggungjawab yang besar. Untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat, seseorang individu itu perlulah menjadi pengikut yang hebat dahulu.  Seterusnya, dalam sesebuah perniagaan atau syarikat, kerjasama antara pekerja itu amatlah penting bagi memastikan syarikat tersebut dapat berjalan dengan lancar serta meningkatkan nama baik syarikat.

Penutup

Program ini telah banyak membantu saya dalam meningkatkan tahap pemikiran saya. Saya juga merasa termotivasi atas segala ucapan yang telah dikongsikan dalam webinar tersebut. Webinar ini telah berjaya membakar semangat saya untuk mencapai matlamat dalam hidup saya. Webinar ini telah membantu saya dalam meningkatkan tahap kemahiran berfikir saya, kemahiran keusahawanan serta kemahiran kepimpinan dan kerjasama berpasukan saya. Program ini juga menyediakan sijil untuk peserta-peserta yang telah menyertai webinar ini.

 

ecert iam.PNG

 

            Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak penganjur iaitu kelab pemadam UTM yang telah melangsungkan webinar ini dengan jayanya. Webinar ini sangat memberi inspirasi kepada saya dalam mengembangkan idea dan cita-cita saya. Sesi soal jawab di dalam program ini juga sangat membantu saya dalam menjawab segala persoalan yang berada di dalam fikiran saya. Selain itu, saya merasa teruja untuk menyertai webinar IAMUSAHAWAN siri ketiga yang bertarikh 6 Disember 2020 pada hari Ahad pukul 2.30 petang hingga 4 petang. Penceramah jemputan pada siri ketiga ialah Mohd Baihaqi bin Hasbullah yang merupakan Pengarah Urusan Pawsome Veterinary Team. Siri ketiga ini akan membicarakan tentang topik ‘Happiness Equation in Entrepreneurship’.

Details