Latar Belakang
“Beyond Destiny” merupakan sebuah program yang dianjurkan oleh Kelab Kaunseling dan Kerjaya (KKDK) yang merupakan sebuah kelab di bawah UTM Skudai. Objektif utama program ini dibuat adalah untuk menyerap masuk ahli-ahli baru KKDK. Ia terbuka untuk semua pelajar UTM, Skudai tetapi terget utamanya adalah dari kalangan tahun satu untuk meneruskan legasi KKDK. Program ini berkonsepkan “team building” iaitu untuk meningkatkan daya kepimpinan, kerjasama dan tolong-menolong antara ahli-ahli di dalam sesuatu organisasi. Selain itu, kami juga jadikan program ini sebagai platform untuk menyerap masuk ahli-ahli baru untuk menjadi Majlis Tertinggi KKDK. Kami akan menilai dari segi komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh peserta dan menawarkan kepada peserta tersebut untuk menerajui Majlis Tertinggi KKDK. Program sebegini sudah menjadi kelaziman kelab KKDK setiap tahun sempena kemasukan pelajar baharu tetapi nama dan tema program sahaja berbeza setiap tahun. “Beyond Destiny” yang di dalam bahasa melayunya, di luar takdir membawa maksud luar daripada biasa merupakan nama program untuk sesi 2019/2020. Saya akan membuat sedikit rifleksi daripada program ini dengan menggunakan 5R seperti berikut:
1. Report
Program “Beyond Destiny” telah berjaya dijalankan selama 3 hari 2 malam pada 26-28 September 2019 di Hutan Rekreasi UTM. Seramai 30 orang pelajar UTM dari tahun 1,2 dan tiga, juga seramai 5 orang fasilitator dari pelajar UTM sendiri telah menyertai dan menjayakan program ini. Saya sebagai Ketua Unit Aktiviti untuk program ini dibantu oleh lagi 2 orang ahli Unit Aktiviti telah berjaya melaksanakan modul-modul yang telah kami sediakan sebelum program. Program ini dianggap sebagai kurang memberangsangkan pada awalnya kerana bilangan peserta yang di sasarkan tidak dapat dicapai iaitu seramai 50 orang. Sungguhpun itu, dari segi kelancaran program ini saya anggap sebagai program yang berjaya kerana para peserta memberikan maklum balas yang baik serta mereka merasa gembira menghabiskan masa cuti mereka untuk mengikuti program ini.
Program ini melibatkan gerak kerja yang banyak sebelum program kerana ia melibatkan program selama 3 hari 2 malam, jadi ia perlunya dirancang dengan rapi supaya dapat dijalankan dengan lancar. Masalah utama yang jadi sebelum program adalah penetapan tempat. Pada awalnya, program ini dirancang untuk dilakukan di luar UTM untuk menarik minat pelajar UTM untuk mengikuti program ini tetapi malangnya pihak UTM tidak memberikan kebenaran kerana ketika itu baru berlaku kes buruk di luar UTM. Walau bagaimanapun, kami berjaya untuk menetapkan tempat di dalam UTM dan menggunakan cara lain untuk menarik minat pelajar untuk mendaftar iaitu dengan menawarkan harga yang murah kepada peserta, lebih murah dari kelab-kelab lain yang turut membuat program yang lebih kurang sama seperti ini. Kami telah dapat mengembalikan dana dengan membuat sedikit jualan sandwich yang dijual di kolej-kolej sekitar UTM. Pulangan jualan ini telah dapat menampung sedikit kos program ini. Ini dapat meningkatkan kemahiran berfikir dan berdaya usaha saya seperti yang perlu ada dalam ciri-ciri seorang graduan.
2. Responding
Pada mulanya, saya agak berat hati untuk menerima tugas menjadi Ketua Unit Aktiviti
kerana sudah tentu saya perlu menjadi tonggak yang penting dalam menjalankan program kerana program ini dipenuhi oleh aktiviti dan modul-modul. Pada ketika itu juga saya baru sahaja memasuki tahun 2 di UTM dan saya sangat kurang dari segi aktiviti program. Saya merasakan saya belum layak untuk menerajui sebagai ketua sebaliknya lebih baik saya hanya menjadi ahli Unit Aktiviti sahaja. Tetapi, pengarah berkata bahawa dia percayakan saya dan terus menggalakkan saya untuk mengambil tugas ini. Setelah berfikir hampir seminggu, saya bersetuju untuk mengambil tugas berat ini. Oleh itu, saya terus bertanyakan pendapat kepada senior-senior tentang aktiviti apa yang sesuai untuk dilakukan sempena program seperti ini. Saya bertanya kepada kawan-kawan saya dari kelab lain dan juga senior-senior kelab KKDK. Ini sangat mengajar saya dalam kesarjanaan kerana saya berjaya mencari sumber-sumber untuk melaksanakan kerja saya.
Setibanya hari yang dinantikan iaitu hari program, saya sudah tentu perlu mengendalikan program dengan permulaan sesi “ice breaking” iaitu sesi kenal mengenal antar satu sama lain. Pada awalnya, saya berasa sangat gementar kerana saya perlu sepenuhnya mengawal segala gerak geri aktiviti tetapi lama kelamaan selepas dapat tindak balas yang positif dari para peserta, saya berasa sangat gembira dengan kerja yang saya lakukan ini. Selain itu, saya juga turut berkerjasama dengan ahli Unit Aktiviti yang lain dalam menjayakan setiap seriap aktiviti yang dilakukan. Ada kalanya saya yang perlu cakap di hadapan, ada kalanya saya yang tolong mengagihkan barang-barang yang diperlukan untuk aktiviti. Ini sangat memberi impak kepada saya dalam kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan. Saya sudah tahu, saya sebagai ketua memainkan peranan yang penting untuk memberikan arahan kepada ahli jawatankuasa yang lain dan bekerjasama dengan mereka dalam menjayakan sesuatu akiviti. Bila timbul permasalahan, saya perlu berbincang, mendengar cadangan dari semua ahli dan dapatkan satu kata putus untuk selesaikan masalah.
3. Relating
Satu situasi yang banyak mengajar saya dalam program ini adalah di mana saya dan pasukan saya terpaksa mengubah tentatif program semasa hari kejadian. Kami terpaksa menukar aktiviti “explorace” dilakukan pada waktu pagi 27hb September yang sepatutnya dijalankan pada waktu petangnya. Tindakan ini kami buat kerana ketika itu musim hujan pada waktu petang dan “explorace” ini seharusnya dijalankan di luar kawasan berteduh. Kami hanya mempunyai waktu yang lebih singkat apabila di jalankan pada waktu pagi. Oleh itu, saya telah menggunakan pengalaman saya ketika di program “eduvision” yang merupakan program bersama pelajar-pelajar Sekolah Menengah Teknik Johor Bharu. Masalah yang sama berlaku ketika itu di mana waktu “explorace” terpaksa disingkatkan atas kesuntukan masa dan cara yang dilakukan adalah dengan membuat “explorace express” di mana tempat-tempat “checkpoint” di dekatkan dan tugas-tugas di setiap “checkpoint” disenangkan sedikit. Pengalaman ini saya bawa dan aplikasikan di situasi ini. Di sini saya sedar bahawa dengan mengikuti program, kita di ajar untuk sentiasa berfikir cara untuk selesaikan masalah dan dapat mengingkatkan kemahiran berfikir dan kebolehsesuaian seseorang.
Selain itu, saya menggunakan peluang ini untuk meningkatkan kebolehan saya dalam memberi peringatan dan ceramah-ceramah agama. Satu sesi selepas waktu maghrib pada 26hb September, saya memberikan sedikit perkongsian tentang kebolehan seorang remaja dan apa ciri-ciri remaja. Saya mendapat kekuatan untuk memberikan perkongsian di hadapan adalah kerana saya sudah biasa memberikan perkongsian dan ceramah agama semasa di bangku persekolahan. Ini secara tidak langsung dapat mengajar saya kepentingan menjadi warga global itu sendiri.
4. Reasoning
Hari ini, saya sedar bahawa betapa pentingnya untuk kita keluar dari kepompong selesa kita kerana kepompong selesa kita ini yang akan menhalang kita untuk meneroka lebih dalam. Saya sedar bahawa jika kita sentiasa berada di tahap selesa kita, kita akan sentiasa terkebelakang. Saya bersyukur saya menerima tawaran dari pengarah program ini untuk menjadi Ketua Unit Aktiviti yang mana unit ini adalah sangat mencabar kerana ia perlukan mental yang kuat. Banyak benda baru yang mungkin senang untuk orang lain tetapi sangat berharga untuk diri saya. Satu benda yang saya sangat hargai adalah saya dapat belajar cara untuk mengawal orang ramai ketika program, dari cara penyampaian sesuatu modul hinggalah cara untuk memastikan suasana aktiviti yang dijalankan adalah sentiasa hidup dan menyeronokkan. Ini sangat mengajar saya untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi di mana bukan setakat berkomunikasi dengan rakan sekerja tetapi juga cara untuk berkomunikasi dengan orang ramai.
Selain itu, saya sedar bahawa kita jangan kalah dengan mentaliti kita. Apabila mentaliti kita rasa yang “Ketua Unit Aktiviti” itu susah, maka pada awal lagi kita akan mengaku kalah. Kita seharusnya percaya yang diri kita mampu untuk melakukan semua perkara.
5. Reconstruction
Penambahbaikan yang saya boleh buat adalah seharusnya apabila kita sedang merancang modul atau aktiviti untuk sesuatu program, kita seharusnya membuat banyak rancangan tambahan. Ini adalah supaya jika terdapat sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku seperti hujan, kita akan dapat menjalankan program dengan jayanya.
Selain itu, saya seharusnya yakin dengan kebolehan sendiri. Jika orang lain yakin dengan kebolehan kita, kita juga patut yakin dengan diri sendiri. Keyakinan diri sendiri amat penting kerana ia boleh membawa kita ke tahap yang lebih tinggi. Kita akan lebih bersedia untuk menerima segala pembaharuan yang datang dalam hidup kita juga segala rintangan yang bakal kita hadap di masa hadapan. Sebagai contoh, sepatutnya apabila pengarah sudah yakin dengan kebolehan saya, saya tidak sepatutnya mengambil masa yang lama iaitu semalam seminggu untuk menerima tawaran tersebut. Ini boleh merugikan saya kerana pengarah mungkin akan akan dapat jumpa pengganti untuk saya dalam masa seminggu seterusnya melenyapkan peluang keemasan saya untuk berpengalaman menjadi ketua sesuatu unit.
Penutup
Pada pandangan saya, pengalaman mengendalikan program adalah sangat perlu untuk setiap pelajar alami. Ia adalah kerana permasalahan yang berlaku spanjang menjayakan program akan sedikit sebanyak dapat kita tempuhi dan kita belajar cara untuk kita atasi. Ia bukan sahaja tindakan apa yang perlu kita buat tetapi car akita mengawal emosi dan mental kita semasa menghadapi masalah itu. Kita mungkin hanya boleh dapat pengajaran dengan setakat mendengar pengalaman orang lain, tapi percayalah ia adalah sesuatu tindakan yang tidak efektif. Kita seharusnya merasai sendiri cara mengendalikan program kerana elemen mental yang kita hadapi sewaktu program adalah pengalaman yang sangat berharga. Tekanan dan permasalahan yang berlaku akan menjadikan kita kuat untuk teruskan apa yang kita imipakan untuk masa hadapan.
Bersempena dengan atribut graduan yang UTM cuba untuk terapkan, program-program yang kita sertai dan kendalikan memang dapat menyediakan kita untuk menjadi seorang yang berkualiti dan bernilai seterusnya memudahkan kita untuk mendapat kerja dan menjadi seorang yang berjaya.
Gambar dan kenangan
Gambar-gambar semua yang turut serta program ini dari kalangan peserta, fasilitator dan ajk unit
Gambar ajk-ajk unit bersama fasilitator selepas selesai acara sukaneka
Pemandangan di hutan rekreasi, tempat berkhemah untuk para peserta