PENGENALAN
Untuk subjek Teknologi Kayu dengan kod kursus SHPL1002, terdapat dua amali yang perlu kami selesaikan iaitu amali yang pertama adalah pembuatan tanggam dan seterusnya untuk amali yang kedua adalah membuat rak kasut berdasarkan tanggam yang sesuai. Untuk amali yang pertama, ianya adalah secara individu dimana kami didedahkan dengan cara menghasilkan tanggam yang betul dan kemas. Untuk amali yang pertama, terdapat tiga tanggam yang perlu kami selesaikan iaitu tanggam temu, tanggam lubang dan juga tanggam parit. Untuk ketiga-tiga tanggam tersebut, kami telah diberikan lakaran beserta dengan ukuran yang spesifik untuk kami ikut sebagai rujukan.
Seperti yang kita semua sedia maklum sebelum ini, kesemua amali yang dilakukan adalah untuk mendedahkan kepada para pelajar tentang teknik-teknik menggunakan alatan tangan ketika berada di dalam bengkel seperti gergaji, sesiku L, kikir, apit G dan sebagainya. Ianya adalah untuk memahirkan para pelajar untuk menggunakan kesemua alatan tersebut agar setelah tamat pengajian kelak, ilmu itu akan dikongsikan kepada orang lain khususnya pelajar sekolah. Selain itu, sewaktu menjalankan amali, pelajar juga diajar untuk mendisplinkan diri agar sentiasa mematuhi perturan dan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Dari segi peralatan, sebelum memulakan amali, kami telah diterangkan terlebih dahulu tentang penggunaannya dan fungsi setiap alatan agar sewaktu menjalankan amali, tidak ada apa-apa masalah yang tidak diingini berlaku kerana sewaktu berada di dalam bengkel, keselamatan adalah amat penting sekali kerana ianya melibatkan diri sendiri dan orang sekeliling kita. Namun begitu, tidak semua alatan digunakan sewaktu membuat amali dan kami hanya dibenarkan untuk menggunakan alatan yang tertentu sahaja seperti, gergaji, tanggap, sesiku L, sesiku sudut, kikir, apit G dan mana-mana alatan tangan yang berkaitan sewaktu menjalankan amali tersebut.
Terakhir sekali, amali untuk bengkel kayu itu merupakan satu modul yang amat penting sekali untuk program pendidikan kerana ianya memberikan pendedahan awal kepada bakal-bakal guru tentang asas ketukangan supaya sewaktu mengajar kelak, tidak berlaku apa-apa masalah dan proses pembelajaran berjalan dengan lancar.
LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN DI DALAM BENGKEL
KESELAMATAN DAN PERSEKITARAN DALAM BENGKEL
Bengkel merupakan tempat untuk melakukan kerja-kerja praktikal. Oleh itu, persekitaran dan pengudaraan bengkel mestilah selesa dan selamat untuk melakukan pekerjaan. Terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi seperti:
- Memastikan peralatan disusun kemas dan selamat bagi mengelakkan perkara yang tidak diigini daripada berlaku.
- Mempunyai pengudaraan yang baik dan segar.
- Memastikan mempunyai pencahayaan yang sempurna.
- Pastikan keadaan sekeliling bersih dan kemas serta hendaklah dibersihkan setelah melakukan kerja selepas melakukan kerja-kerja bengkel.
- Perlu mengetahui tempat alat pemadam api dan peti pertolongan cemas supaya memudahkan pelajar atau tenaga pengajar mencari jika berlaku kecemasan.
- Fahami semua arahan arahan yang dipaparkan di Pelan Kecemasan.
KESELAMATAN AM
- Menggunakan kasut yang bertutup dan bertapak getah.
- Jangan memakai barang kemas seperti gelang,rantai dan cincin.
- Elakkan berambut panjang dan memastikan rambut sentiasa kemas.
- Gunakan pakaian pelindung atau sarung tangan semasa menggunakan cat minyak.
- Tidak dibenarkan bergurau semasa menjalankan amali.
- Jangan cemas jika berlaku kemalangan dan kecederaan.
- Mengemas peralatan selepas digunakan kaedah betul.
- Basuh tangan dengan betul selepas melakukan kerja amali.
BAHAN DAN PERALATAN YANG DIGUNAKAN
BAHAN YANG DIGUNAKAN
- Kayu pine
- Digunakan dalam menghasilkan tanggam.
ALATAN TANGAN YANG DIGUNAKAN
- Sesiku L
- Digunakan untuk membuat garisan bersudut tepat 90°, menguji kepersegian dan juga menguji keratan permukaan kayu.
- Gergaji puting
- Digunakan untuk memotong kayu bersaiz kecil dan juga tanggam kayu.
- Pensel penanda
- Digunakan untuk menanda dan membuat garisan pada kayu.
- Apit-G
- Digunakan untuk mengapit bahagian kerja jika ingin melakukan pemotongan supaya tidak bergerak.
- Pembaris besi
- Digunakan untuk mengukur dan menanda jarak, membuat garisan lurus pada permukaan, memindahkan ukuran dan meguji keratan permukaan.
- Pahar rata
- Digunakan untuk memahat permukaan kayu yang hendak dibuang seperti tanggam lubang dan tanggam parit.
- Jangka sudut vernier
- Digunakan untuk menentukan sudut bagi sesuatu objek.
- Gandin kayu
- Digunakan untuk mengetuk pahat supaya kayu tidak pecah atau terbelah.
- Kikir
- Digunakan untuk menghaluskan permukaan kayu yang tidak rata.
- Tolok penanda
- Digunakan untuk mengukur garis selari pada permukaan kayu jika hendak mengukur titik tengah bagi kayu.
- Pisau penanda
- Mempunyai fungsi yang sama seperti pensel tukang, di mana ianya berfungsi untuk membuat penandaan.
KOS PROJEK
|
BAHAN |
KUANTITI |
KOS SEUNIT (RM) |
JUMLAH KOS (RM) |
|
Kayu 25cm × 8cm |
20 unit |
2.20 sekeping |
44.00 |
|
Kertas las |
15 keping |
0.30 sekeping |
4.50 |
LUKISAN BUTIRAN PROJEK
JENIS TANGGAM YANG TERDAPAT DI DALAM LAKARAN:
-
TANGGAM LEKAP BERPENJURU
- Tanggam ini dibuat dengan memahat kedua-dua bahagian kepingan kay yang akan dilekapka dan tarahan yang dibuat hendaklah setengah tebal papan supaya apabila kedua-dua bahagian tanggam dilekapkan, ianya akan kelihatan rata dan kemas. Untuk tanggam lekap berpenjuru, ianya digunakan pada sudut pemidang yang kecil.
-
TANGGAM LUBANG
- Tanggam ini digunakan apabila pemidang lintang bertemu dengan pemidang tegak. Pemidang pada hujungnya seperti pada kali meja dan kerusi. Ukuran panjang janjang ini sama dengan tebal puting. Fungsi janjang ini adalah untuk mengelakkan pemidang lintang daripada beralih kedudukannya atau berpiuh jika pemidang tegak mengecut.
-
TANGGAM PARIT
- Tanggam Parit adalah lebih kukuh dari tanggam temu. Ia biasa digunakan untuk pemasangan tetingkat, almari dan rak. Tanggam parit terdiri daripada 2 jenis iaitu tanggam parit terus dan tanggam parit buntu. Untuk amali ini, kami dikehendaki untuk menghasilkan tanggam parit terus.
LANGKAH PENGHASILAN PROJEK
-
LANGKAH PERTAMA
- Pertama, kami perlu memilih ukuran kayu yang digunakan untuk menghasilkan tanggam.
-
LANGKAH KEDUA
- Seterusnya, kami diberikan masa untuk membuat ukuran pada kayu tersebut mengikut ukuran yang telah ditetapkan.
-
LANGKAH KETIGA
- Dengan menggunakan pensel tukang, kami membuat tandaan bagi bahagian kayu yang hendak dipotong atau dibuang.
-
LANGKAH KEEMPAT
- Proses pemotongan kayu dilakukan dengan menggunakan gergaji berdasarkan tandaan yang telah dibuat sebelumnya.
-
LANGKAH KELIMA
- Untuk bahagian tanggam, kami dikehendaki untuk menggunakan pahat untuk membuat tanggam dan ianya harus dilakukan dengan berhati-hati supaya kayu tidak pecah atau terlebih pahat.
-
LANGKAH KEENAM
- Setelah selesai, bahagian yang dipahat akan dikikir dengan menggunakan kikir agar permukaan kayu tersebut kelihatan rata dan kemas.
-
LANGKAH KETUJUH
- Setelah selesai satu tanggam, kita akan beralih kepada tanggam yang seterusnya sehingga ketiga-tiga tanggam tersebut selesai dihasilkan. Ulang semula dari langkah 1 hingga 7.
MASALAH YANG DIHADAPI DAN KAEDAH PENYELESAIAN
Sewaktu menghasilkan tanggam tersebut, banyak masalah yang dihadapi kerana saya tidak mempunyai pengalaman dalam mengasilkan tanggam sebelum ini. Antara masalah yang sering kali berlaku adalah saya salah membuat ukuran dan ianya menyebabkan tanggam tidak masuk dengan sempurna. Dengan ini, saya terpaksa membuat ukuran semula dan lebih berhati-hati dalam membuat ukuran agar ianya tidak salah lagi seperti sebelumnya. Kita semua sedia maklum dimana ukuran haruslah dilakukan dengan berhati-hati dan teliti, kerana jika salah sikit pun ukuran, ianya akan menjejaskan sambungan tanggam tersebut.
Selain itu, untuk masalah yang kedua adalah dimana semasa memahat, bahagian kayu menjadi pecah atau terbelah kerana semasa proses memahat, saya mengetuknya dengan agak kuat yang menyebabkan berlakunya perkara tersebut. Ini kerana, kekurangan teknik memahat yang menyebabkan ketukan pada pahat menjadi tidak sekata. Untuk mengatasi masalah ini, saya terpaksa mengetuk pahat dengan lebih berhati-hati dan bahagian kayu yang telebih pahat tersebut, saya perlu menggunakan kikir untuk membuatkan bahagian yang dipahat menjadi sekata dan kemas. Ini kerana, sesuatu tanggam akan kelihatan kemas sekiranya permukaannya rata dan sekata.
Seterusnya, masalah yang saya hadapi adalah berkaitan dengan masa dimana sewaktu membuat tanggam tersebut, saya tidak dapat menguruskan masa dengan betul, yang membuatkan saya tidak dapat menyiapkan tanggam tersebut mengikut masa yang telah ditetapkan. Oleh itu, saya cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan merancang sebaik-baiknya masa yang diberikan, bermula daripada proses mengukur, menanda, memotong dan sehingga selesai keseluruhan proses membuat tanggam tersebut. Ini kerana, kita semua sedia maklum bahawa sepanjang pandemik, masa yang diberikan adalah terhad dan kita harus menggunakannya sebaik yang mungkin agar segalanya dapat disiapkan mengikut waktu yang telah ditetapkan.
REFLEKSI
Semasa melakukan amali ini, banyak input yang dapat saya perolehi. Antaranya ialah berkaitan dengan penggunaan alatan tangan yang dan teknik kerja yang betul. Dalam menyiapkan amali ini, kami berpeluang untuk mencuba sendiri bagaimana untuk menggunakan setiap alatan tangan dan segala fungsi-fungsinya. Melalui pendedahan sebegini, sudah semestinya ianya amat baik sekali kerana para pelajar dapat merasai pengalaman tersebut. Ini kerana, apabila sudah melakukan latihan mengajar kelak, sudah semestinya perkara tersebut akan diajarkan kembali dan sebagai bakal guru, kita harus memahami setiap fungsi dan kegunaan semua alatan tangan.
Selain itu juga, dalam menyiapkan amali ini juga kami telah sedikit sebanyak mempelajari teknik dalam pembuatan seperti teknik memotong, mengikir, memahat dan sebagainya. Setiap teknik kerja harus dilakukan dengan betul untuk mendapatkan hasil yang sempurna dan kemas. Oleh yang demikian, amalan sebegini amat baik sekali untuk memberikan pendedahan awal kepada para pelajar dan juga bakal guru pada masa hadapan supaya apabila sudah mengajar kelak, kita dapat mengajarkan teknik yang betul kepada anak murid.
Selama seminggu amali ini berlangsung, pelbagai cabaran dan dugaan yang kami semua hadapi lebih-lebih lagi sekarang adalah musim PKP dimana segala pergerakan adalah terhad dan kami harus pandai mencuri masa dan harus lebih kreatif dalam menyiapkan amali ini kerana masa adalah sangat terhad. Akan tetapi, berkat daripada kesabaran dan usaha yang ada, akhirnya kami berjaya juga untuk menyiapkan tugasan ini mengikut tempoh masa yang ditetapkan oleh pensyarah.
Kesimpulan daripada refleksi di atas, amali ini amat bagus sekali dalam silibus pembelajaran kerana ianya amat berguna apabila kita telah memasuki alam pekerjaan kelak. Banyak input yang dapat kita perolehi semasa proses amali ini berlangsung.
PENUTUP
Kesimpulannya, amali ini merupakan satu amali yang sangat berguna dan sudah semestinya ianya haruslah dimasukkan ke dalam silibus pengajaran dan pembelajaran kerana ilmu dan pengetahuan yang diperolehi melalui amali ini amat berguna kepada diri kita sendiri di kemudian hari. Sebagai contoh, setiap yang yang dibuat semasa amali adalah sangat berguna apabila kita hendak melakukan sesuatu sambungan atau melakukan kerja pertukangan.
Selain itu, saya dapat belajar pelbagai teknik serta cara-cara baru untuk melakukan kerja pertukangan kayu ini. Hal ini kerana, amali ini memerlukan dari aspek ketelitian seperti pemilihan bahan,pengukuran serta kaedah-kaedah lain dan teknik yang digunakan untuk menyelesaikan tugasan ini. Sebagai contoh, sekiranya teknik dalam membuat tanggam salah, berkemungkinan kayu kita akan menjadi pecah ataupun, permukaan tanggam tidak rata yang menyebabkan tanggam tidak melekat dengan sempurna.