TASK FORCE ZON SELATAN 'BRING STUDENTS HOME' 2020
Program Task Force Zon Selatan 'Bring Student Home' 2020, merupakan salah satu program untuk menghantar pelajar yang terkandas semasa PKP. UTM telah ditanggungjawabkan untuk menguruskan pelajar zon selatan yang mana ianya melibatkan pelajar dari universiti dan kolej lain baik ianya insititusi pendidikan kerajaan mahupun swasta. Untuk program ini, saya telah menjadi AJK yang mana kami dipertanggungjawabkan untuk menguruskan senarai nama pelajar yang ingin balik ke kampung halaman masing-masing sepanjang PKP. Semua AJK yang terlibat dikehendaki untuk menyusun jadual penerbangan untuk yang hendak balik ke Sabah dan Sarawak dan jadual bas untuk yang hendak balik di sekitar semenanjung Malaysia.
Sepanjang Program ini juga, kami harus memastikan data pelajar adalah betul dan sekiranya berlaku kesilapan sudah semestinya ianya akan menimbulkan satu masalah kepada pelajar terutamanya pelajar yang ingin balik menggunakan kapal terbang ke Sabah dan Sarawak. Sepanjang PKP dilaksanakan, penerbangan selalu ditunda dan AJK bagi program ini harus mencari tarikh baru untuk pelajar yang hendak balik.
Program ini telah berlangsung selama sebulan lebih dan setelah semua pelajar di zon selatan balik ke kampung halaman masing, barulah program ini ditamatkan kerana semua pelajar telah selamat balik ke pangkuan keluarga mereka.
REFLEKSI KENDIRI
Sepanjang program ini dilaksanakan, banyak pengalaman yang telah saya pelajari seperti kerja berpasukan, menepati waktu, bekerja dalam tekanan dan sebagainya. Sepanjang program ini juga, saya telah diberikan kesempatan untuk bekerja dengan orang-orang yang hebat seperti Prof. Dr. Durissah Idrus yang mana beliau sendiri mengetuai program ini. Oleh kerana UTM dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pelajar bagi zon selatan, maka sebagai AJK, kami harus memastikan urusan pelajar yang hendak pulang ke kampung halaman mereka lancar tanpa ada berlakunya masalah yang tidak diingini.
Program ini telah mengajar saya untuk berkejar dengan waktu kerana pelajar harus balik ke kampung halaman masing-masing mengikut waktu yang telah ditetapkan. Jika tidak, sudah semestinya pelajar tersebut akan terkandas dan terpaksa menunggu 'batch' lain jika hendak balik ke kampung halamannya. Sepanjang program ini, kami harus bekerja sehingga larut malam dan ianya merupakan satu pengalaman yang sangat berharga kerana saya telah belajar bagaimana untuk bekerja di bawah tekanan waktu dan masa.
Bukan itu sahaja, kami juga diberikan peluang untuk menghantar sendiri pelajar ke kampung halaman mereka bagi yang menaiki basi. Sepanjang di dalam bas, kami harus memastikan bilangan pelajar sentiasa mencukupi dan tidak ada pelajar yang tertinggal. Ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga kerana sepanjang PKP, saya boleh menyumbangkan khidmat dan bakti saya kepada UTM.
Kesimpulannya, program ini telah mengajar saya banyak perkara baik dari segi cara kerja, semangat berpasukan dan sebagainya. Secara tidak langsung, ianya telah meningkatkan kualiti diri dalam hidup saya dalam menempuh alam pekerjaan kelak.