AGIHAN KHAS MAKANAN PELAJAR UTM SEPANJANG PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN COVID 19 UTM - KP (MAKAN TENGAHARI)
Program Agihan Khas Makanan Pelajar Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan COVID - 19 UTM - KP (Makan Tengahari) adalah bertujuan untuk menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar yang terkandas semasa PKP. Program ini dianjurkan dengan kerjasama HEP UTM sepanjang PKP dilaksanakan. Sebagai AJK bagi program ini, tugas utama yang harus dilakukan adalah memastikan semua penghuni kolej mendapatkan makanan yang mencukupi. Ini kerana, sepanjang PKP dilaksanakan, pelajar tidak dibenarkan keluar daripada universiti untuk membeli makanan dan kafeteria pun ditutup. Dengan ini inisiatif telah diambil untuk memberikan bantuan makanan iaitu bantuan makanan waktu pagi, tengahari dan juga malam. Jadi tidak ada pelajar yang kelaparan akibat tidak dapat membeli makanan di luar universiti.
Program ini dilaksanakan semenjak awal PKP dilaksanakan dan ianya berterusan sehingga PKP mulai reda dan pelajar boleh membeli sendiri makanan di luar. Jadi sepanjang tempoh ini, sebagai sukarelawan yang mengagihkan makanan tersebut, kami harus memastikan semua pelajar ataupun penghuni kolej mendapat makanan mereka dan tidak ada satu pun pelajar yang tercicir. Rutin harian yang harus dilakukan adalah dengan mengasingkan makanan mengikut kategori seperti sayur-sayuran, daging dan sebagainya dan seterusnya menunggu pelajar sampai untuk mengambil makanan mereka. Setelah habis makanan diagagihkan, barulah kerja pembersihan akan dilakukan dan pada keesokan harinya, rutin yang sama dilakukan.
REFLEKSI KENDIRI
Sepanjang program ini dilaksanakan, banyak perkara yang telah saya pelajari iaitu dengan mensyukuri segala nikmat yang ada. Ini kerana, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, ramai pelajar yang kelaparan akibat tidak dapat membeli makanan di luar, dan apabila program ini dilaksanakan, maka secara tidak langsung ianya merupakan suatu nikmat yang harus disykuri oleh semua pelajar bahkan saya sendiri. Selain itu, saya juga belajar tentang cara berpasukan yang mana sepanjang tempoh program ini, kami bergerak dalam pasukan dan saling membantu dalam mengagihkan makanan.
Bukan itu sahaja, saya juga belajar bagaimana untuk menepati waktu yang mana sepanjang program ini dijalankan, makanan yang diagihkan haruslah tepat pada waktunya dan sebelum tengahari contohnya, makanan sudah diasingkan mengikut kategori pelajar itu sendiri seperti pelajar vegetarian dan sebagainya. Oleh yang demikian, secara tidak langsung aktiviti kesukarelawaan ini telah mengajar saya untuk menghargai masa dan melaksanakan kerja dalam waktu yang ditetapkan.
Sepanjang program ini juga, ada sesetengah makanan yang diberikan oleh badan NGO untuk membantu pihak universiti dalam menyalurkan bantuan makanan dan waktunya tidak menentu. Oleh sebab itu, kami harus sentiasa bersedia sekiranya secara tiba-tiba ada bantuan makanan sampai seperti bahan basah untuk penghuni kolej yang berkeluarga.
Kesimpulannya, program ini banyak mendidik saya untuk menjadi insan yang lebih bersyukur dan menepati waktu. Sepangjang PKP, ramai pelajar yang terkandas dan saya salah satunya dan dengan ini saya telah mengambil peluang untuk menjadi sukarelawan dalam program mengagihkan makanan ini.