ExCEL Reflective Report

Reflective Report 1

ExCEL Report Activity 1 – Love Mangrove

Pada 29 Februari 2020, saya telah menyertai satu aktiviti yang dianjurkan oleh Jawatankuasa
Mahasiswa Kolej Tun Dr Ismail (JKM), iaitu program ‘Love Mangrove’. Program ini
merupakan aktiviti secara sukarela dan dibuka penyertaannya kepada pelajar yang menginap
Kolej Tun Dr Ismail dan seramai 50 orang pelajar telah menyertai program ini. Program ini
dilakukan di Taman Negara Tanjung Piai, Johor dan dilaksanakan selama satu hari dari pagi
sehingga petang. Selain itu, tentatif sepanjang program ini disediakan oleh pihak JKM sehari
sebelum kami bertolak ke taman negara tersebut dan segala persiapan telah dilakukan sehari
sebelum hari kejadian. Seterusnya, pada waktu kejadian kami disuruh untuk segera
berkumpul di Dataran Resak seawal 7 pagi kerana kami akan bertolak ke taman negara pada
pukul 8 pagi, sementara menunggu ketibaan semua peserta kami diberikan sarapan terlebih
dahulu kerana perjalanan ke taman negara ini mengambil jangka masa yang agak lama iaitu
selama satu jam setengah dari UTM ke Tanjung Piai.


Pada pukul 10 pagi, kami telah selamat sampai ke destinasi dan kedatangan kami disambut
baik oleh pihak taman negara. Seterusnya, aktiviti kami dimulakan dengan sesi fotografi yang
di hadapan taman negara seperti gambar di bawah:

photo_2020-06-22_12-38-53.jpg

Selepas sesi fotografi tersebut, kami diiring ke dewan yang terdapat di taman negara tersebut
untuk taklimat mengenai aktiviti yang kami perlu lakukan serta sedikit info mengenai taman
negara ini. Pada pukul 11 pagi, kami memulakan taklimat kami dengan ucapan daripada
wakil JKM iaitu felo kami sendiri untuk memberi sedikit ucapan penghargaan. Seterusnya,
kami diberikan taklimat mengenai Taman Negara Tanjung Piai oleh wakil taman negara
tersebut. Info yang dapat saya peroleh daripada taklimat tersebut ialah Taman Negara
Tanjung Piai merupakan tanah paling selatan di benua Asia dan taman negara ini juga
menyimpan pelbagai khazanah alam semulajadi yang kaya dengan hutan, hidupan paya bakau
serta flora dan fauna. Tujuan Taman Negara Tanjung Piai ini ditubuhkan untuk melindungi
hidupan paya bakau dan kawasan berlumpur yang memberikan fungsi penting kepada
ekosistem kita. Di samping itu, taman negara inu merupakan salah satu tempat di mana kita
dapat dua negara jiran secara serentak iaitu Singapura dan Indonesia. Lebih – lebih lagi,
Tanjung Piai adalah taman yang terkecil namun yang paling banyak dikunjungi di antara lima
Taman Negara Johor. Sudah pasti ianya menjadi tempat yang menarik untuk anda
menghabiskan masa sehari, menghayati keindahan, mengambil gambar pemandangan dan
mengagumi hubungan antara manusia dan alam semula jadi

Selain itu, taman ini mempunyai kemudahan yang cukup untuk pelawat yang datang
termasuk rangkaian laluan penjalan kaki berkembar sepanjang 1.2 km, kompleks pelawat
yang menempatkan galeri maklumat, serta tapak perkhemahan yang unik di dalam bakau.
Mengikut daripada info yang saya dapati daripada laman sesawang Tanjung Piai, taman
negara ini ditubuhkan pada tahun 1997 untuk melindungi tapak unik ini; terutamanya, paya
bakau dan kawasan berlumpur yang saling memberikan fungsi penting kepada ekosistem kita.
Pada tahun 2003, Taman Negara Tanjung Piai diiktiraf oleh Konvensyen Ramsar sebagai
Tapak Ramsar, atau Tanah Lembap Berkepenting Antarabangsa. Seterusnya, ketika di awal
penubuhan taman, adalah menjadi tanggungjawab semua yang terlibat secara berterusan
untuk melindungi hutan bakau yang menghadapi masalah hakisan yang serius disebabkan
oleh gelombang yang kuat terutamanya dihasilkan oleh beribu-ribu kapal tangki yang
berlayar setiap tahun, serta kejadian pencemaran sekali-sekala dari tumpahan minyak dan
pembuangan air balas secara haram. Dengan pemasangan pemecah ombak ditambah pula
dengan penanaman semula pokok bakau secara intensif, arus pasang kini telah berubah, dan
banyak kawasan yang sebelumnya terhakis kini telah ditumbuh semula oleh hutan bakau
yang sihat dan taman ini kini berada dalam keadaan yang lebih baik.

Selepas tamat taklimat tersebut, kami semua dibawakan oleh beberapa orang pekerja taman
negara tersebut untuk membuat tinjaun pokok bakau yang terdapat disitu. Dalam pada itu,
kami semua dibahagikan kepada beberapa kumpulan kerana kami akan lakukan aktiviti
menanam pokok bakau yang dipantau oleh beberapa pekerja taman negara tersebut. Seramai
4 kumpulan telah dibahagikan dan setiap ahli kumpulan disediakan polybag dan sarung
tangan. Seterusnya, setelah kami selesai melakukan aktiviti menanam pokok bakau tersebut
kami semua dibawa oleh pekerja taman negeri tersebut untuk lawatan setiap stesen flora dan
fauna yang ada di taman negara tersebut. Akhir sekali, aktivit kami yang terakhir iaitu kami
dikehendaki untuk melakukan aktivti mengumpul sampah demi menjaga kebersihan taman
negara tersebut.

Di atas merupakan sedikit laporan mengenai aktiviti yang saya lakukan dalam program ‘Love
Mangrove’. Nilai yang saya terapkan daripada aktiviti tersebut ialah semangat bekerjasama,
menimba pengetahuan yang baharu dan kemahiran komunikasi. Nilai semangat bekerjasama
sangat memberi kesan positif terhadap diri saya kerana sepanjang melakukan aktiviti
menanam pokok bakau saya memerlukan bantuan daripada ahli kumpulan saya untuk
menyiapakan aktivit menanam tersebut. Hal ini kerana, menanam poko bakau merupakan
pengalaman pertama saya melakukannya, oleh itu saya memerlukan pertolongan rakan yang
lain seperti mengajar saya cara untuk menanam pokok bakau malah menolong saya
memudahkan perjalanan sepanjang ke kawasan pokok bakau kerana kawasan pokok bakau
tersebut terlalu berlumpur sehingga menyebabkan saya terjatuh banyak kali ke kawasan yang
berlumpur. Oleh itu, dengan adanya semangat kerjasama seperti ini, aktiviti yang dilakukan
sangat cepat dan mudah. Lain daripada itu, sepanjang program ini saya dapat input atau info
yang baru dalam hidup saya iaitu flora dan fauna yang ada di negara kita. Hal ini demikian,
pekerja taman negara yang ditugaskan untuk membawa kami satu kumpulan untuk lawatan
taman negara telah memberi banyak pengetahuan yang berguna dan juga bermanfaat kepada
kami satu kumpulan. Akhir sekali, dalam program ini juga saya mampu meningkatkan
kemahiran komunikasi saya kerana saya harus berkomunikasi dengan orang lain dalam
aktiviti yang saya lakukan contohnya pada waktu sesi soal jawab ketika lawatan taman
negara dan juga semasa aktiviti menanam pokok bakau

Sejujurnya, saya merupakan pelajar yang kurang bercakap dengan orang yang saya tidak
berapa kenal akan tetapi, semasa aktiviti Love Mangrove saya memaksa diri untuk bercakap
dengan lebih mesra kerana saya berkumpulan dengan orang yang saya tidak kenal.
Walaupun, saya mempunyai rakan daripada jurusan yang sama dalam kumpulan tersebut
tetapi saya perlu berkomunikasi dengan yang lain juga kerana aktivitinya memerlukan kita
untuk bekerjasama bersama. Lebih-lebih lagi, perkara penting semasa aktiviti adalah saya
mendapat pengetahuan mengenai flora dan fauna spesies di negara kita, yang bagi saya agak
menarik kerana saya tidak pernah mendengarnya dalam hidup saya.

Dalam pada itu, perkara yang saya ingin tekankan sepanjang pengalaman saya dalam
program ‘Love mangrove’ ini ialah setiap nilai yang saya peroleh sangat membantu dalam
meningkatkan kemahiran insaniah (soft skills). Nilai murni seperti kemahiran komunikasi
sangat penting dalam kehidupan saya kerana saya boleh guna pakai kemahiran ini untuk masa
depan kelak. Hal ini kerana, dalam alam pekerjaan kemahiran komunikasi amat penting
dalam membentuk peribadi yang baik. Seterusnya, kebanyakan pekerjaan sekarang
memerlukan pekerja yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang mereka akan tetapi
mahir juga dalam komunikasi. Selain itu, sikap bekerjasama amat penting terutama kepada
saya, jika saya mahu meneruskan pekerjaan dalam bidang saya pelajari sekarang, sikap
kerjasama ini perlu diterapkan dalam diri saya. Dengan adanya sikap bekerjasama ini, semua
perkara yang kita lakukan akan jadi lebih mudah dan senang. Bukan itu sahaja, nilai
bekerjasama ini mampu membantu pelajar untuk lebih terbuka untuk menolong rakan mereka
yang lain jika mereka memerlukan pertolongan. Pada pendapat saya, konsep yang perlu saya
ketengahkan dalam aktiviti ini ialah mencari pengetahuan untuk kegunaan sepanjang hayat
dengan orang yang lebih mahir orang yang pakar dalam bidang itu. Hal ini kerana, menuntut
ilmu atau pengetahuan bukan perkara yang merugikan malah ia memberi seribu kebaikan
kepada saya, terutama sekali pengetahuan yang berbeza apa yang kita pelajari di universiti.
Seterusnya, untuk menjadi individu yang berjaya kita hendakalah berguru atau menanyakan
soalan dengan orang yang bertepatan atau yang lebih pakar dalam bidang mereka, kerana
sangatlah rugi jika kita hanya bersikap sambil lewa dalam semua perihal. Dalam pada itu,
berdasarkan pemerhatian saya, kesemua kakitangan yang terdapat di taman negara ini sangat
terlatih kerana mereka dapat menimbul perasaan ingin tahu mengenai hidupan yang terdapat
dalam taman negara tersebut. Saya percaya, dengan cara penyampaian yang efektif dan
menyeronokkan mampu menarik minat pelajar dan juga pengunjung yang lain untuk
mengetahui segala hidupan yang ada dan mereka lebih memahami kesemua pengetahuan
yang disampaikan oleh kakitangan taman negara ini. Lebih-lebih lagi, orang itu juga harus
memikirkan cara menghiburkan dan menjelaskan kepada kita mengenai spesies di Taman
Negara dengan cara yang lebih menarik. Kemudian, dari pemerhatian saya semua kakitangan
yang ditugaskan dalam aktiviti kami adalah cemerlang kerana dia dapat menarik perhatian
pelajar untuk lebih focus penjelasan mereka.

Akhir sekali, berdasarkan pemerhatian saya tiada peningkatan yang saya mahu lakukan untuk
program ini. Hal ini demikian, banyak input mahupun kebaikan yang dapat diperoleh melalui
setiap aktiviti yang saya lakukan. Seterusnya, untuk masa hadapan kelak saya mungkin akan
guna segala kemahiran atau nilai yang saya perolehi ini untuk tujuan professional. Di
samping itu, setiap kemahiran yang saya terima seperti komunikasi sangat diguna pakai
dalam alam pekerjaan dan juga sikap ingin tahu dalam menuntut pengetahuan juha sangat
berguna untuk masa depan juga. Sementara itu, sedikit penghargaan untuk pihak penganjur
iaitu JKM Kolej Tun Dr Ismail dan juga kakitangan Taman Negara Tanjung Piai kerana
mampu menyediakan program yang begini dan juga memberi peluang kepada pelajar untuk
lebih berminat terhadap ilmu yang berkaitan dengan alam sekitar ini. Selain itu, penjagaan
masa sepanjang program sangat terkawal kerana semua aktiviti yang dilakukan mengikut
tentatif yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.

 

photo_2020-06-22_12-39-08.jpg