Alhamdullilah, bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan limpahan kurnia, taufik, hidayah dan pertolongan-Nya, dapatlah buku Koleksi Khutbah Jumaat Masjid Sultan Ismail UTM 2020 ini disiapkan dan berada di tangan pembaca sekalian.
Khutbah berperanan sebagai satu medium yang penting dalam menyampaikan pengajaran, maklumat dan isu-isu semasa umat Islam. Melalui khutbah yang disampaikan juga, ahli kariah dapat peringatan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan dunia dan akhirat mereka.
Buku ini merupakan buku kedua yang diterbitkan oleh Pusat Islam UTM (PIUTM) dalam usaha mengumpulkan teks khutbah yang ditulis sendiri oleh para asatizah PIUTM. Ini adalah sebahagian usaha untuk memberi peluang para asatizah PIUTM menyampaikan mesej kepada warga UTM dalam bentuk penulisan dan penerbitan.
Selain itu, teks khutbah ini juga sesuai digunakan oleh khatib di masjid dan surau jumaat kerana mengandungi berbagai tajuk yang umum dan sesuai dengan peristiwa tertentu.
Akhir kalam, setinggi kemaafan atas kekurangan dan kekhilafan yang terdapat dalam buku ini. Ruang kepada komen dan kritikan yang membina sentiasa terbuka. Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penerbitan buku ini. Saya berdoa agar usaha dan kerjasama yang disumbangkan beroleh ganjaran daripada Allah SWT.
Sekian, terima kasih. Wasalam.
Dr. Mohd Nasir Masroom
(Ketua Penyunting)
Masjid Sultan Ismail,
Universiti Teknologi Malaysia.
2020