Report 1: Latihan Fasilitator - Kem Kepimpinan Dan Jati Diri
Kem kepimpinan dan jati diri dilaksanakan pada 10 Mac 2020 sehingga 12 Mac 2020 di Hutan Rekreasi, Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selama 3 hari dan 2 malam. Penganjur bagi program ini adalah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Darat UTM dan Badang Outdoor UTM. Program ini juga melibatkan sekolah – sekolah pada peringkat negeri Johor sebagai peserta bagi kem kepimpinan ini. Saya sebagai ahli jawatan kuasa Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Darat, telah juga menjadi salah seorang fasilitator dalam program ini mengendalikan aktiviti – aktiviti dan pergerakan pelajar – pelajar sekolah di dalam Hutan Rekreasi tersebut. Program ini jatuh di bawah kategori kepimpinan dan atribut siswazah yang memerlukan kemahiran – kemahiran seperti kerja berpasukan, berkomunikasi, kebolehsuaian, dan kemahiran berfikir. Objektif utama program ini adalah untuk membantu pelajar – pelajar sekolah menengah ini dalam mendapatkan jati diri dan keyakinan diri dalam membina sesebuah kumpulan. Sebagai salah seorang fasilitator, kami dipertugaskan untuk membantu pergerakan pelajar dan mengendalikan setiap aktiviti yang akan dijalankan. Setiap tugas diberikan kepada setiap fasilitator dan akan saling mengganti antara satu sama lain sehingga tamatnya latihan tersebut selama 3 hari dan 2 malam berturut-turut tersebut.
Pengalaman ini adalah sangat menarik bagi saya kerana saya dapat memperlihatkan sikap – sikap pelajar dari perspektif seorang pengendali program atau fasilitator. Pada mulanya saya berpandangan bahawa pelajar – pelajar ini telah mempunyai sedikit pertalian dan kerjasama tetapi selepas beberapa jam memerhatikan mereka, ternyata yang mereka masih memerlukan bantuan dalam kemahiran membina kumpulan dan bekerja dalam kumpulan. Kebanyakan mereka masih meninggalkan ahli kumpulan dan suka mengarah ahli kumpulan yang lain, walhal hanya minoriti ahli daripada kumpulan – kumpulan tersebut yang membuat kerja. Pada hari pertama, mereka diarahkan untuk membina khemah, namun ada di antara mereka yang bergaduh untuk memilih rakan kongsi khemah yang lain. Kami sebagai fasilitator pada masa tersebut harus memikirkan cadangan dan aktiviti – aktiviti yang boleh membantu kerjasama bagi ahli – ahli yang bermasalah ini. Jadi kami telah bersatu suara untuk melakukan aktiviti “compass marching” iaitu memerlukan seorang ketua yang mengarah pergerakan ahli – ahli kumpulan yang lain, seorang ahli untuk mengendalikan kompass, seorang ahli untuk mengendalikan peta. Aktiviti ini sangat membantu dalam membina kerjasama dalam mendengar arahan, bertindak mengikut arahan, memberi cadangan dan idea, dan membina kepercayaan terhadap tanggungjawab yang telah diberi kepada ahli kumpulan yang lain. Dalam mengendalikan aktiviti ini, fasilitator tidak dibenarkan membantu pelajar – pelajar dalam memberi petunjuk arah ke destinasi yang diberi untuk melatih mereka dari segi perbincangan dan komunikasi dalam kumpulan. Fasilitator hanya dibenarkan memerhati dan memantau sahaja. Kami juga hanya boleh berikan bantuan jika adanya kecemasan atau pelajar – pelajar tersebut tersangkut terlalu lama dalam aktiviti tersebut. Walaupun ada di antara mereka yang mempunyai pertikaian dan ada yang menimbulkan konflik, tetapi kesemua kumpulan dapat tiba ke destinasi yang diberi masing – masing. Selepas aktiviti tersebut, aktiviti membina satu perabot daripada barang – barang terguna atau daripada hutan pula dijalankan. Aktiviti ini memerlukan kerjasama yang tinggi dan pemikiran yang kreatif dari setiap ahli kumpulan. Setiap kumpulan hanya diberikan tali dan gunting untuk membina perabot. Kesemua kumpulan dapat menyiapkan perabot masing – masing dalam masa yang diberikan dengan baik. Ternyata bahawa kemahiran dalam bekerja dalam kumpulan pelajar – pelajar ini semakin kukuh. Keesokan harinya, pelajar – pelajar ini terus melakukan aktiviti “orienteering” iaitu aktiviti yang memerlukan kepantasan kumpulan dalam bekerjasama menyelesaikan setiap tugasan di setiap checkpoint yang diberi. Setiap fasilitator hendaklah menjaga setiap checkpoint ini dan membuat aktiviti berdasarkan kreativiti masing – masing. Terdapat banyak permainan dan aktiviti pada setiap checkpoint yang diberikan kepada mereka dalam membina kerjasama, antaranya adalah membina topi dari daun – daun di sekitar kawasan checkpoint, message passing, blindfold game dan banyak lagi. Kesemua permainan ini dapat membantu komunikasi, kepercayaan dan sokongan antara ahli kumpulan. Kami juga dapat mengukur tahap kecekapan dan daya kerjasama setiap kumpulan dengan melihat masa yang dicapai dalam melakukan sesuatu permainan. Kami mulakan hari esoknya dengan senaman robik dan terus ke padang merentas halangan di Markas PALAPES darat UTM. Ini dapat membantu kerjasama dan sokongan yang diberi oleh ahli kumpulan yang lain. Kemudian kami terus mengadakan aktiviti – aktiviti luaran yang dapat meningkatkan kerjasama mereka. Ini juga termaksu aktiviti renangan di kolam yang berada di Hutan Rekreasi tersebut. Mereka dikehendaki untuk membawa seorang daripada ahli kumpulan mereka di dalam satu pelampung dari satu checkpoint ke checkpoint yang lain. Ini melatih mereka untuk tidak meninggalkan rakan – rakan mereka di belakang dan menolak satu – sama lain dalam menyelesaikan satu cabaran atau halangan. Pada malam harinya, aktiviti malam kebudayaan dilaksanakan untuk mengasah kreativiti setiap kumpulan. Kemudian sesi bergambar dan majlis penutupan kem di adakan kerana pelajar – pelajar di setiap sekolah akan pulang pada awal pagi keesokan harinya.
Hampir kesemua aktiviti yang dilaksanakan oleh kami adalah aktiviti yang menggalakkan kerjasama, kreativiti, dan komunikasi antara satu ahli kumpulan dengan ahli kumpulan yang lain. Sebagai salah seorang pegawai kadet tentera darat, kerjasama dalam kumpulan adalah unsur yang paling penting dalam melaksanakan satu tugasan. Tanpa kerjasama yang tinggi, hampir kesemua tugasan tidak akan dapat disiapkan dalam masa yang singkat. Dengan pengalaman latihan semasa menjadi pegawai kadet, kerjasama yang tinggi dapat menyingkatkan masa dalam melakukan tugasan dan mengurangkan tekanan semasa dalam latihan. Sebagai seorang ketua platoon atau ketu kumpulan bagi konteks kem kepimpinan ini, ketua juga hendaklah berfikir secara pantas dengan kecekapan yang tinggi dalam melakukan tugasan. Ketua juga hendaklah mengingati setiap ahli kumpulan yang lain dan pandai memberi arahan supaya tidak menghadapi masalah semasa latihan. Selain itu, ketua hendaklah mengambil kira setiap pendapat dan perspektif dari ahli kumpulan yang lain bagi mengelakkan konflik dalam kumpulan. Bagi ahli kumpulan pula, mereka hendaklah mendengar arahan ketua kumpulan dan meletakkan seratus peratus fokus mereka terhadap tugasan yang diberi. Ahli kumpulan juga tidak sepatutnya cuba untuk mengarahkan ahli kumpulan yang lain kerana ini hanya akan mengakibatkan konflik dalam kumpulan. Dengan latihan – latihan yang kami telah jalani, mengendalikan pelajar – pelajar ini menjadi lebih mudah kerana kami dapat melihat secara spesifik di mana kurangnya aspek kerjasama dalam sesuatu kumpulan tersebut. Kami juga dapat bantu mereka dari setiap aspek bekerja dalam kumpulan yang mereka kurang mahir dengan aktiviti – aktiviti yang dilakukan di dalam kem kepimpinan ini.
Kebanyakan pelajar pada awalnya tidak mengambil endah setiap aspek kerjasama berkumpulan dalam melakukan setiap tugasan. Hampir majoriti daripada mereka kekurangan kemahiran dalam berkomunikasi, saling memahami untuk membantu setiap ahli kumpulan yang lain dan menggalakkan rakan – rakan mereka untuk meneruskan tugasan. Pada awalnya, ramai antara pelajar – pelajar ini cuba untuk memikul kumpulan dengan melakukan kesemua tugasan yang diberi dengan sendirinya. Ini menunjukkan bahawa mereka masih lagi kekurangan kepercayaan terhadap ahli kumpulan yang lain. Oleh disebabkan ini juga, ramai di antara mereka yang cuba untuk mengarahkan ketua mereka sendiri dan ahli – ahli kumpulan yang lain dan menimbulkan banyak konflik dalam kumpulan. Dengan memerhati cara mereka mengendali kumpulan masing – masing, saya sedar bahawa betapa pentingnya kesatuan dan kesefahaman dalam kumpulan. Semasa kem kepimpinan tersebut saya juga dapat lihat bahawa ramai antara mereka dapat berkomunikasi antara satu sama lain dengan baik dan kurangnya konflik kumpulan masing – masing dalam melakukan setiap tugasan. Menjelang pengakhiran program kem kepimpinan dan jati diri ini, kami dapat perlihat betapa erat hubungan yang mereka telah jalin antara satu sama lain walaupun hanya mengambil masa 3 hari dan 2 malam. Ia sangat berbeza dengan hari pertama mereka menduduki program ini. Kami dapat melihat perbezaan yang sangat ketara dari segi melakukan tugasan, mengarah dan mendengar arahan, komunikasi dalam kumpulan, dan kecekapan mereka dalam melakukan setiap tugasan yang diberi. Ternyata bahawa tugasan – tugasan dan aktiviti yang diberikan kepada mereka berkesan dalam membina jati diri, keyakinan dan semangat kerjasama dalam kumpulan mereka serta mengeratkan hubungan mereka. Terdapat banyak lagi aktiviti – aktiviti yang juga berilmu dan mungkin dapat memberi manfaat kepada mereka. Sebagai contoh, adalah pengajaran tips dan cara – cara memasak dalam hutan, mengadakan solat dalam keadaan darurat atau semasa peperangan, penggunaan air yang efisien dan mengajar mereka jati diri yang teguh ketika malam burung hantu. Saya yakin bahawa mereka dapat belajar dari pengajaran yang kami telah berikan.
Kesimpulannya, kami sebagai ahli fasilitator yang telah terlatih dengan tekanan yang sangat tinggi semasa latihan PALAPES mempunyai perspektif yang sangat berbeza dengan pelajar – pelajar sekolah menengah ini, terutama sekali dalam cara yang efektif dalam mengendali kumpulan dan menjadi ahli kumpulan. Kami belajar bahawa prestasi sesebuah kumpulan akan lebih tinggi jika kurangnya tekanan dari dalam dan dari luar kumpulan. Ini juga termasuk tekanan dari luar dan dari dalam setiap individu dari kumpulan. Kami juga belajar cara untuk bekerja dengan lebih efektif dan lebih efisien dengan menetapkan tugasan bagi setiap individu terlebih dahulu. Ini supaya mengurangkan konflik semasa melakukan tugasan. Selain itu, kami belajar bahawa komunikasi adalah sangat penting, kerana dengan komunikasi yang lancar, banyak permasalahan seperti pendapat dan perspektif yang berbeza dari ahli kumpulan dapat di kurangkan. Dengan komunikasi antara ahli kumpulan yang baik juga dapat menambah keeratan sesebuah kumpulan bagi mengelakkan mana – mana ahli yang lain ditinggalkan. Ini juga dapat menggalakkan rakan – rakan lain yang berada dalam kesusahan untuk terus berusaha dalam menjalankan setiap tugasan. Kami pasti bahawa yang kami akan menerima pakai semula perkara – perkara dan aspek – aspek ini pada latihan – latihan yang kami akan hadapi semasa menjadi pegawai kadet, sehingga menjadi pegawai muda dan sehingga ke industri dalam bidang pekerjaan masing – masing yang melibatkan kerjasama yang tinggi dalam suasan bekerja atau melakukan tugasan secara berkumpulan.