Refleksi Pemikiran Sains dan Teknologi / Refleksi Pemikiran Sains dan Teknologi /
Refleksi Pertandingan Inovasi

WhatsApp Image 2019-12-03 at 00.36.58.jpeg

Penyertaan kami dalam Pertandingan Inovasi Pemikiran Sains dan Teknologi yang dianjurkan oleh Dr. Nur Najwa Hanani Bt. Abdul Rahman sedikit-sebanyak telah memberikan pengajaran dan pengalaman yang baharu  kepada saya dalam menghasilkan sesuatu prototaip dan bergerak dalam satu kumpulan inovasi. Kumpulan kami yang terdiri daripada 6 orang termasuk saya, telah memperkenalkan suatu konsep iaitu Tandas Pintar V-Aqua yang bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan serta menjamin kebersihan pengguna dalam melakukan urusan mereka. Kami memperoleh idea untuk menghasilkan prototaip ini adalah berdasarkan pemerhatian, kajian dan perbincangan terhadap isu-isu yang berlaku di negara yang berkait dengan kemudahan tandas yang disediakan di serata tempat. Walaupun terdapat banyak tandas awam yang disediakan oleh kerajaan mahupun pihak swasta, masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran tidak memanfaatkan kemudahan yang diberikan dengan sebaiknya. Tan Sri Lee Lam Thye berkata, berdasarkan statistik, 61 peratus daripada 10,257 tandas awam di seluruh negara berada dalam keadaan teruk. Hanya 350 atau 3.4 peratus yang mencapai penarafan lima bintang manakala 1,086 atau 10 peratus pula dalam keadaan amat teruk untuk mendapat penarafan satu bintang yang paling minimum. Maka, kami berharap dengan terhasilnya konsep kami ini, dapat memberi kesedaran sivik kepada pengguna serta memupuk sifat-sifat positif dalam diri.

Pada peringkat awal, kami telah mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi berkaitan dengan tandas awam di Malaysia. Antara masalah itu adalah keadaan tandas yang tidak bersih, rosak, dan lambat dibaiki. Perkara sebegini sekiranya tidak dihalang, boleh mendatangkan kesan tidak diingini kepada pengguna. Seterusnya, kami berusaha mendatangkan idea-idea yang menarik dalam mengatasi masalah-masalah ini melalui sesi `brainstorming’ dan kajian di Internet. Namun begitu, idea-idea kami haruslah bertepatan dengan garis panduan agama, tidak mendatangkan kemudaratan kepada manusia dan alam sekitar, serta menepati sistem nilai dan etika. Hasilnya, kami berjaya menghasilkan satu konsep tandas pintar yang mengimplementasikan teknologi-teknologi baharu, lengkap dengan fungsi yang memenuhi kehendak kami. Seminggu sebelum hari pertandingan tersebut, kami telah melakukan persiapan yang terakhir bagi pameran yang akan diadakan seperti poster, dan video. Pertandingan tersebut telah diadakan di Dewan al-Marbawiy, di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi UTM. Setibanya kami di sana, saya agak teruja melihat prototaip-prototaip setiap kumpulan yang bertanding. Namun, prototaip mereka tidak begitu membimbangkan saya kerana prototaip yang dihasilkan oleh kumpulan kami juga mampu bersaing dengannya. Setelah kami mempersembahkan hasil projek  kami kepada juri, kami menunggu keputusan sambil menikmati jamuan yang telah disediakan oleh Dr. Najwa. Nasib tidak menyebelahi kami, konsep Tandas Pintar V-Aqua tidak berjaya meraih tempat dalam pertandingan tersebut. Kami menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.

Walaupun kumpulan kami tidak memenangi pertandingan tersebut, tetapi saya tidak bersedih kerana banyak manfaat dan ilmu baharu yang saya peroleh daripada pengalaman tersebut. Pengalaman ini telah mengajar saya untuk bekerjasama dalam kumpulan dengan lebih baik dan memberi komitmen supaya dapat mendatangkan idea-idea yang inovatif, dan memastikan setiap tugasan yang diagihkan dapat dilakukan dengan semaksimanya. Ia juga memberi kesedaran kepada saya bahawa sikap bertolak-ansur amatlah penting supaya kita lebih mudah untuk menerima pendapat orang lain, yang mungkin berlainan dengan kita demi menghasilkan satu prototaip yang baharu. Di samping itu, pertandingan tersebut telah memberi peluang kepada saya untuk menguji kemampuan saya dalam melakukan sesuatu pembentangan. Suasana yang berbeza pada hari pertandingan yang lebih tegang berbanding waktu kuliah, memberi impak yang berbeza pada diri dalam melakukan pembentangan, apatah lagi di hadapan juri. Kesan daripadanya, saya dapat mengenal pasti kelemahan, dan melakukan penambahbaikan pada kemampuan diri. Saya sedar bahawa  bukan kemenangan yang dikejar, tetapi pengalaman yang akan membentuk diri saya untuk masa hadapan. Di samping itu, saya juga belajar bahawa dalam melakukan sesuatu inovasi, kita mestilah mengambil kira kesan yang akan berlaku kepada manusia dan alam sekitar daripada ciptaan kita tersebut. Pembangunan teknologi tanpa menitikberatkan etika hanya akan memberikan manfaat yang sementara sahaja, kerana pasti ada yang akan menyalahgunakan kemajuan yang ada serta mereka yang gagal  mengambil impak positif daripadanya. Bagi yang beragama Islam seperti saya, kemajuan yang dilakukan mestilah tidak bertentangan dan sedikit sebanyak memenuhi kehendak syarak. Kebanyakan kecelakaan yang berlaku di muka bumi ini berlaku adalah kerana ciptaan-ciptaan manusia yang  tidak berasaskan moral dan etika. Maka, hendaklah kita menjadi ahli sains dan teknologi yang beretika, berjati diri dan berprinsip.