Hari ini, 21 November 2019, Encik Hassan bin Husyin,guru kepada pelajar seksyen 03 telah menjalankan satu aktiviti bersama pelajar kelasnya. Aktiviti yang dijalankan ialah ceramah wacana yang bertajuk Negara Rahmah Ummah Sejahtera yang dianjurkan Pusat Islam UTM dengan kerjasama YADIM bertempat di Masjid Sultan Ismail, UTM. Wacana tersebut disampaikan oleh Ustaz Ali bin Muda, pegawai khas YB Menteri Agama. Pada pendapat saya, aktiviti ini amat baik untuk dijalankan dalam kalangan generasi muda zaman ini. Ini kerana golongan muda ini lah merupakan harapan masa depan ummah. Bagi membina negara yang diredhai Allah seterusnya Berjaya dipandang tinggi oleh negara lain, salah satu aspek yang penting ialah bagi membina negara yang rahmah yang kemudiannya akan membawa kepada ummah yang sejahtera.
Tidak dapat dinafikan bahawa tajuk wacana yang dijalankan ini amat relevan dengan seluruh manusia, sama ada muslim atau bukan muslim. Aspek negara rahmah merupakan impian yang ingin dicapai oleh semua pemimpin di dunia ini, terutamanya Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza. Maka, sudah tentu perpaduan merupakan satu elemen yang penting bagi mewujudkan ummah yang sejahtera. Persoalannya bagaimanakah cara untuk mengapilkasikan falsafah Negara Rahmah Ummah Sejahtera ini ke dalam konteks masyarakat Malaysia?
Ustaz Ali menyatakan bahawa dalam mencapai falsafah Negara Rahmah Ummah Sejahtera, gagasan Rahmatan lil alamin perlu dijadikan sumber dan asas penting dalam konteks negara Malaysia. Ini kerana gagasan rahmatan lil alamin mencegah perpecahan antara umat manusia. Pada pandangan saya, aspek perpaduan antara masyarakat amat penting dalam memastikan keharmonian dan kesejahteraan umat manusia dan alam semesta. Selain itu, gagasan rahmatan lil alamin juga penting kerana pada zaman ini, umat manusia dihebohkan dengan fenomena dakwah yang keras dan kasar. Fenomena ini perlulah dicegah kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada sesebuah negara.
Akhir sekali, Ustaz Ali juga menyatakan bahawa setiap individu mempunyai peranan masing-masing dalam mencapai falsafah Negara Rahmah Ummah Sejahtera. Salah satu peranan penting individu dalam masyarakat ialah golongan kaya mestilah sedia menghulurkan bantuan kepada golongan miskin. Dengan ini, taraf hidup masyarakat dapat ditingkatkan seterusnya dapat menuju kea rah ummah yang sejahtera. Selain itu, Ustaz Ali juga menyatakan bahawa sedekah haruslah menjadi amalan kebiasaan antara umat manusia. Perpaduan dan keamanan dapat dipupuk antara masyarakat tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan kaum.
Kesimpulannya, dalam mencapai falsafah Negara Rahmah Ummah Sejahtera, sudah jelas bahawa gagasan Rahmatan lil alamin merupakan salah satu elemen penting bagi memastikan masyakarakat dunia, terutamanya rakyat Malaysia hidup dalam keharmonian. Setiap individu mestilah memainkan peranan dalam memupuk perasaan kasih saying dan hormat terhadap satu sama lain tanpa mengira perbezaan kaum, bahasa, gaya hidup, agama dan sebagainya. Kerajaan perlulah sentiasa memastikan hubungan rakyat antara kaum sentiasa utuh dan teguh. Pelbagai inisiatif hendaklah diambil kira dari pelbagai aspek untuk mencapai falsafah ini. Falsafah Rahmatan lil alamin akan dapat dicapai sekiranya setiap pihak di Malaysia saling berganding bahu dan bekerjasama antara satu sama lain dengan rela hati dan ikhlas.