Refleksi Pemikiran Sains dan Teknologi /
Refleksi Video Seminar PST

Berdasarkan video seminar berkaitan Revolusi Industri 4.0, telah memberikan saya pencerahan mengenai perubahan yang sedang berlaku di sektor perindustrian di peringkat global serta peluang kepada kita untuk menjadi pemangkin kepada perubahan tersebut di Malaysia. Pada masa kini, Internet Kebendaan atau ‘Internet of Things’ (IoT) semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, perkhidmatan e-hailing, e-Wallet, dan e-Pembelajaran boleh dikatakan sudah menjadi keperluan bagi penduduk Malaysia. Tambahan pula, teknologi internet 5G yang sedang giat diperkenalkan di tempat-tempat tertentu, akan meluaskan lagi keupayaan kita dalam merealisasikan Internet Kebendaan.

Perkembangan ini turut memberi kesan yang besar kepada industri-industri yang turut serta dalam peralihan Industri 4.0. Sejak dari dahulu lagi, sektor perindustrian sentiasa mengalami perubahan berdasarkan keupayaan teknologi pada zamannya. Mula dari penciptaan enjin wap yang menggerakkan keretapi dan kenderaan ketika Revolusi Industri 1.0, perubahan demi perubahan dilakukan sehingga Revolusi Industri 3.0, produksi digerakkan oleh robot-robot automatik yang dapat meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos. Perkara ini dapat ditingkatkan lagi dengan integrasi antara Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), produksi data dan sistem fizikal. Penyimpanan data berkos rendah yang boleh didapati melalui Penyimpanan Awan (Cloud Storage) memudahkan data-data daripada produksi dapat disimpan untuk dianalisis, dan diguna pakai setelah itu bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pembaziran misalnya. Bukan itu sahaja, maklumat-maklumat yang diperoleh juga dapat digunakan bagi membantu. Hal inilah yang hendak dicapai dalam Industri 4.0. Maka, Revolusi Industri 4.0 akan mendatangkan manfaat yang banyak kepada sektor perindustrian.

Namun begitu, revolusi perindustrian ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kerelevenan manusia dalam industri ini. Dengan mengimplementasi Industri 4.0, kerja-kerja buruh yang pada kebiasaannya dilakukan oleh manusia bakal digantikan dengan robot. Dianggarkan sebanyak 30% tenaga buruh akan digantikan dengan robot dan sistem komputer berdigital lain. Perkara sebegini tidak dapat dielakkan kerana penggunaan teknologi-teknologi industri yang baharu akan meningkatkan produktiviti. Sebagai contoh, industri pembuatan kain yang pada asalnya digerakkan oleh tenaga manusia semata-mata, mengalami peningkatan setelah mesin menenun kain diperkenalkan. Kesannya, kos kain menjadi lebih murah dan mampu milik. Namun begitu, perihal industri 4.0, tenaga kerja manusia masih lagi diperlukan terutamanya pekerja yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi untuk membangunkan teknologi yang akan digunai pakai oleh industri. Maka, masyarakat mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan bagi menggerakkan industri ini supaya dapat bersaing dengan negara-negara lain yang turut serta dalam revolusi ini.