Sepanjang semester ini, saya, Yasmeen Binti Abu Bakar dari seksyen 20 Dinamika Malaysia telah mempelajari banyak perkara yang boleh dijadikan pengajaran hidup dan boleh dimanfaatkan. Saya bukanlah seorang yang meminati politik dan saya tidak mempunyai pengetahuan yang luas tentangnya. Oleh itu, ini merupakan cabaran untuk saya memahami apa yang dipelajari. Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa perkara-perkara yang diajar semuanya penting dan kita sebagai rakyat Malaysia harus mempunyai ilmu tentangnya. Selain daripada mendalami sejarah atau politik Malaysia, kami juga turut membuat projek yang melibatkan komuniti. Satu projek telah dikendalikan di mana kami sekelas berkunjung ke rumah anak yatim Raudatul Maryam yang terletak di Taman Universiti untuk membuat program. Program tersebut memberi kami peluang untuk mendapatkan pengalaman kerana kami ke situ dengan harapan program kami dapat memberi impak kepada kanak-kanak tersebut walaupun sedikit.
Secara keseluruhan, walaupun saya tidak begitu minat akan elemen-elemen yang dipelajari pada awalnya, tetapi saya kemudian mula memahami kepentingannya. Tambahan pula pensyarah saya yang suka bercerita dan mengaitkan setiap apa yang dipelajari dengan isu-isu semasa. Ini secara tidak langsung dapat membantu saya mengetahui isu-isu semasa yang mungkin saya terlepas pandang. Pensyarah juga merupakan seorang yang terbuka dan sanggup mendengar alasan atau pandangan setiap murid. Cara pelajaran disampaikan sangat jelas dan membuatkan saya lebih berminat untuk belajar dan mendengar.
Dinamika Malaysia penting untuk menanam nilai-nilai positif dalam diri agar dapat membentuk negara yang harmoni dan sejahtera. Secara tidak langsung, ia dapat memberi kesedaran kepada saya dan dapat menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional. Kita patut menjadi lebih prihatin tentang keadaan ekonomi dan masyarakat negara kita apatah lagi kita sebagai rakyat Malaysia sendiri. Dalam perjalanan untuk membangkitkan negara yang maju, kita harus bercita-cita untuk mengelakkan tingkah laku yang negatif. Sama juga untuk menuju ke arah masa depan yang lebih cemerlang, kita, masyarakat Malaysia harus berusaha untuk menjadi masyarakat yang dinamik serta progresif. Sebagaimana kita tahu, Malaysia merupakan negara yang didiami pelbagai bangsa. Ada yang mempersoalkan sama ada Malaysia boleh mencapai keharmonian dengan masyarakat yang mempunya identity yang berbeza. Bangsa Malaysia yang bersatu padu adalah sebahagian besar daripada konsep sebuah negara idaman. Selepas mempelajari dan memahami lebih dalam tentang perkara ini, say amula sedar bahawa Malaysia memang berpotensi untuk membangkit. Negara idaman boleh dicapai dengan pendekatan yang holistic dan komprehensif iaitu dengan perpaduan kaum.
Secara keseluruhannya, Dinamika Malaysia banyak mengajar saya dan boleh dikatakan telah membuka mata saya kepada beberapa aspek. Contohnya tentang ekonomi dan politik Malaysia yang tidak mampu diabaikan apatah lagi usia saya meningkat kian tahun. Saya perlu mengambil tahu tentang isu-isu yang sedang hangat dibicarakan berkaitan negara kita. Oleh itu, saya yakin bahawa pengetahuan yang didapati dari kelas-kelas yang diadakan mampu memberi impak yang positif pada diri saya dan negara kita, Malaysia.