NUR AIN BINTI MAHAMAD SALLEH's Reflection /
Rahmatan Lil Alamin

 

Pada 21 November 2019, saya telah menghadiri sebuah ceramah yang berwacanakan “Negara Rahmah Ummah Sejahtera”. Ceramah ini telah berlangsung di Masjid Sultan Ismail,Universiti Teknologi Malaysia yang bermula pada jam 8.15 pagi. Ceramah yang diadakan ini telah disampaikan oleh Ustaz Ali bin Muda yang merupakan Pegawai Khas YB Menteri Agama. Dalam ceramah ini, Ustaz Ali telah mengetengahkan konsep “Rahmatan Lil Alamin” yang berkonsepkan isu rahmat daripada Allah SWT. Konsep ini telah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran melalui surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: “Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”. Dalam hal ini, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan etnik yang rata-ratanya adalah berbangsa Melayu, Cina dan India sudah pasti menganut pelbagai agama berbeza. Walaubagaimanapun, agama islam merupakan agama utama di Malaysia yang sememangnya merupakan agama anutan majoriti penduduk di Malaysia ini. Apabila bercakap soal agama,pelbagai persoalan dan konflik yang sering dibincangkan oleh setiap pelosok rakyat tidak kira muda atau tua. Apabila bercerita soal agama, rata-rata tahu tapi masih kurang faham dan tidak mengamalkan sepenuhnya seetiap ajaran yang diajar oleh agama masing-masing. Menurut Islam, salah satu cara untuk mengenal Allah adalah melalui basmallah. Pada pandangan saya, mengenali agama itu sahaja tidak cukup tetapi perlula disertakan bersama mengenali dan memahami dengan mendalam tentang sesuatu ajaran agama tersebut. Menurut 99 nama Allah, terdapat dua nama yang sering kita dengar iaitu Al-Rahim yang bermaksud Allah Maha Penyayang dan Al-Rahman yang bermaksud Allah Maha Pemurah. Dalam konteks ini, ramai yang kurang jelas akan beza kedua-dua ini dan telah salah faham terhadapnya. Al-Rahman yang bermaksud Maha Pemurah merupakan suatu kurnian Allah kepada semua makhluk di muka bumi ini tanpa mengira agama yang dianuti oleh mereka. Dalam erti kata lain, orang bukan muslim juga dapat merasai Al-Rahman. Di samping itu, Al-Rahim yang membawa maksud Maha Penyayang adalah berbeza apabila yang dapat merasai nikmat ini hanyalah khusus untuk orang-orang beriman. Melalui perkara ini, saya dapati bahawa bukan mudah untuk kita mendapat Al-Rahim ini kerana kita manusia mudah lalai dan sememangnya pendosa. Walaubagaimanapun, saya percaya setiap rahmat yang saya dapati merupakan sesuatu kurniaan yang saya sepatutnya bersyukur. Sebagai salah seorang rakyat di Malaysia ini, saya juga sedar kehidupan bermasyarakat yang majmuk yang hidup dengan aman dan tenang merupkan salah satu rahmat yang sering dilupakan oleh masyarakat. Hal ini oleh kerana, rata-rata masyarakat lebih tertumpu terhadap perkara lain seperti kekayaan harta dan hiburan semata-mata sedangkan terdapat pelbagai rahmat yang selalu dilupakan seperti nikmat kesihatan dan ibu bapa. Negara yang stabil dan selamat juga merupakan satu rahmat yang sering tidak diambil cakna oleh masyarakat sedangkan ini merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan seharian. Hal ini tepat dengan wacana “Negara Rahmah Ummah Sejahtera” apabila negara yang dicucuri rahmah bakal mewujudkan kehidupan ummah yang sejahtera sepanjang hidup. Hal ini amat penting dalam memastikan kehidupan kita sentiasa harmoni dan aman damai. Kesimpulannya, kenali lah agama yang kita anuti itu sebaiknya dan balik lah kepangkal jalan. Sekecil kecil perkara yang kita sering abaikan merupakan sesuatu perkara yang bakal memberi impak yang sangat besar kepada kita jika kita teliti dan memahami setiap perkara secara mendalam.