NUR AIN BINTI MAHAMAD SALLEH's Reflection /
Malaysian Dynamic

Sepanjang semester satu bagi tahun pertama saya sebagai seorang pelajar kursus Kejuruteraan Perisian, terdapat banyak perkara yang telah saya pelajari melalui subjek Dinamika Malaysia ini. Kursus ini banyak mendidik saya untuk menjadi seorang warganegara yang bersyukur dan mengetahui lebih banyak tentang isu-isu semasa. Dalam pada masa yang sama, banyak ilmu berkaitan agama islam juga telah saya pelajari. Pertama sekali, melalui kelas ini, terdapat banyak input berkaitan isu semasa di Malaysia mahupun di luar negara. Saya lebih memahami struktur negara Malaysia dan lebih mengetahui hal-hal berkaitan negara yang kurang saya ambil peduli sebelum ini. Terdapat juga beberapa aktiviti yang dijalankan yang telah dapat merapatkan ukhwah antara kami satu kelas yang terdiri daripada pelbagai kaum. Memandangkan kami terdiri daripada latar belakang yang berbeza ditambah pula kami juga jarang melakukan aktiviti bersama, jadi aktiviti yang diadakan melalui kelas ini telah berjaya merapatkan kami dengan lebih baik. Hal ini dapat dilihat melalui aktiviti kunjungan ke Rumah Anak Yatim terdahulu yang telah berlangsung dengan jayanya yang diketuai oleh Ahmad Mujahid sebagai pengarah projek. Kami telah berjaya memperbaiki komunikasi kami antara satu sama lain bukan sahaja antara kaum dan jantina yang sama malah juga melibatkan kaum dan jantina yang berbeza-beza.

 

Selain itu, kursus ini telah memberi pendedahan yang lebih mendalam berkaitan Islam yang mementingkan kesepaduan ummah. Hal ini dapat dilihat melalui ceramah yang telah diadakan di Masjid Sultan Ismail UTM pada 21 November 2019 yang telah disampaikan oleh Ustaz Ali Bin Muda iaitu Pegawai Khas YB Menteri Agama dengan wacana Negara Rahmah Ummah Sejahtera. Ceramah ini telah menunjukkan betapa pentingnya semangat bersatu padu antara satu sama lain yang amat dititikberatkan dalam ajaran agama Islam. Saya amat kagum ketika itu apabila pelajar yang bukan beragama Islam juga turut bersama-sama mengikuti program tersebut. Dalam pada masa yang sama, mereka juga terutamanya pelajar perempuan mengikuti etika pemakaian di dalam masjid. Ini memberikan impak besar kepada saya apabila mereka menunjukkan sikap hormat-menghormati terhadap agama Islam sedangkan terdapat banyak kes-kes di luar sana yang melibatkan rasa tidak puas hati akibat tidak menghormati agama dan bangsa lain. Hal ini sedikit sebanyak mengajar saya untuk sentiasa mengamalkan sikap yang baik terhadap semua orang tidak kira tempat, masa dan keadaan.

Secara konklusinya, kursus ini jelas sekali mengajar saya tentang nilai-nilai murni kehidupan dalam menjadi seorang anak bangsa yang bertamadun dan mempunyai jati diri yang tinggi. Saya amat bersyukur dengan segala pendedahan yang telah saya dapat melalui kursus ini. Saya juga amat berterima kasih kepada Dr.Hassan atas kesudian beliau memberikan segala tunjuk ajar dan tidak lupa jasa beliau yang memberi pengalaman dan peluang melalui aktiviti-aktiviti yang telah diadakan sepanjang satu semester ini. Dalam pada masa yang sama, tidak lupa juga kepada kawan-kawan saya yang telah banyak mengajar saya dan memberi semangat sepanjang sesi pembelajaran di sini. Saya amat berpuas hati dan menikmati semua yang saya lalui disini sama ada susah ataupun senang. Akhir kata daripada saya, terima kasih atas segalanya.