Saya telah mendapat banyak input daripada pembelajaran subjek Dinamika Malaysia ini. Saya mendapati bahawa subjek ini banyak menekankan aspek sosial, politik dan sejarah perkembangan Malaysia. Banyak perkataan-perkataan baru yang saya pelajari seperti stereotaip, etnisiti, etnosentrisme dan sebagainya serta memahami maksud-maksud dari perkataan tersebut. Pada awal pembelajaran subjek ini, pensyarah banyak menekankan tentang kepentingan sosial dalam kalangan masyarakat kerana negara kita merupakan negara yang memiliki masyarakat pelbagai kaum dan etnik. Justeru, kita hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni dan sentiasa bergaul dengan semua masyarakat untuk menghasilkan sikap rakyat yang lebih memahami terhadap budaya masyarakat lain kearah pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Kami telah diberikan satu tugasan oleh pensyarah kami untuk membuat pembentangan tentang tajuk yang telah diberikan. Saya dan kumpulan saya telah membentangkan tentang Perlembagaan Malaysia. Walaupun tajuk ini telah diajarkan kepada kami semasa tingkatan 4 dan 5 di sekolah menengah, namun kita perlulah sentiasa mengetahui dan mengingati sejarah pembentukan negara kita. Melalui tajuk ini, kami mendapat iktibar tentang bagaimana orang Melayu berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kembali hak istimewa mereka sebagai penduduk bumiputera Tanah Melayu. Selain itu, kami juga mempelajari bahawa sesebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan bangsa dapat hidup bersatu padu melalui kemenangan Parti Perikatan dalam pilihan raya menerusi kerjasama tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Pembentukan pakatan ini akhirnya telah menyebabkan pihak British untuk menyerahkan hak Tanah Melayu kepada bumiputera.
Melalui pembentangan pelajar lain, kami mempelajari tentang parti-parti yang ditubuhkan untuk menentang penjajahan Brtitish. Setiap parti mempunyai sejarah penubuhan masing-masing namun mempunyai malamat yang sama iaitu untuk menentang penjajahan dan pemerintahan British di Tanah Melayu. Antara parti yang memperjuangkan nasib bangsa ialah UMNO untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu semasa perlembagaan Malayan Union, MCA untuk melindungi kepentingan kaum Cina ketika zaman darurat dan MIC yang bertujuan untuk melindungi kepentingan kaum India dan mahu memastikan mereka tidak diketepikan dalam arus perdana politik negara. Selain itu, kami juga mempelajari tentang pembangunan ekonomi di Malaysia. Antaranya ialah penubuhan MARA, FELDA, RIDA.
Kami telah mengadakan program lawatan ke rumah anak yatim sebagai projek akhir kami. Melalui lawatan tersebut, terdapat pelbagai input yang kami perolehi. Kita dapat mengetahui bagaimana kehidupan mereka walaupun tanpa keluarga tersayang. Kita seharusnya bersyukur kerana masih mempunyai kedua ibu bapa yang mengasihi kita dan janganlah kita melawan kata mereka sebelum kita menyesal. Kehidupan mereka juga telah menjadi inspirasi kepada kami supaya tidak mudah berputus asa walaupun menghadapi banyak cabaran dan dugaan dalam hidup. Selain itu, kami mendapat kesedaran bahawa ramai lagi golongan yang kurang bernasib baik dan perlu diberi perhatian. Oleh itu kita haruslah sedar dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada sebelum kita juga merasai apa yang mereka rasa.