Pada 21 November 2019 yang lalu, kami telah menghadiri ceramah mengenai gagasan Islam sebagai Rahmatan Lil’alamin dalam kehidupan individu dan masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia di Masjid Sultan Ismail. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Tuan Haji Ali Muda iaitu pegawai khas YB Menteri Agama. Objektif ceramah tersebut adalah dapat memahami konsep terhadap gagasan Islam sebagai Rahmatan Lil’alamin dan dapat memberi peluang pelajar memahami persekitaran masjid sebagai institusi sosial, agama dan pendidikan. Penceramah tersebut menekankan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan agama dan seharusnya kita perlu menghormati sesame sendiri tanpa mengira bangsa. Kepentingan sikap menghormati ini mampu memberi kesejahteraan dan keamanan dalam kehidupan seharian kita.
Pada awal ucapannya, beliau menerangkan bahawa kita dapat mengenal Allah menerusi Basmalah dengan menghayati maksud ayat tersebut. Dua nama Allah telah disebut dalam ayat Basmalah tesebut iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Rahman bermaksud pemurah, penyantun dan ambil berat. Hal ini bermaksud Allah maha pemurah kepada semua umat manusia tidak kira sama ada individu tersebut Islam atau kafir.kita sepatutnya mengambil iktibar dengan sifat Ar-Rahman Allah iaitu bersikap santun dan penyayang kepada insan lain tanpa mengira asal usul orang tersebut. Ar-Rahim pula bermaksud Allah maha penyayang terutama kepada orang mukmin. Mereka yang takut untuk melakukan maksiat akan diberi ganjaran oleh Allah kerana sifat Ar-Rahim Allah yang maha penyayang.
Sebagai orang Islam, kita wajib mengulang ayat Basmalah sebanyak 17 kali dalam solat kerana ia termasuk dalam surah al-Fatihah yang merupakan rukun qauli dalam solat. Antara hikmah mengulang Basmalah sebanyak 17 kali ialah ia menunjukkan bahawa Allah sangat suka memberi segala kebaikan kepada hamba-hambaNya. Selain itu, setiap solat yang dilakukan mestilah diakhiri dengan dua salam. Salam memebri maksud sejahtera dan aman. Hal ini bermakna kita telah mendoakan kesejahteraan dan keamanan kepada kita setiap hari. Pergerakan dalam solat ini telah menunjukkan betapa pentingnya sifat rahmah ini kepada manusia. Malah, setiap perbuatan hendaklah dimulakan dengan Basmalah supaya kita tidak terputus daripada rahmah Allah.
Gagasan Rahmatan Lil’alamin ini dilaksanakan kerana telah berlaku banyak perpecahan dalam kalangan masyarakat. Terdapat segilintir masyarakat yang memainkan isu perkauman dan agama sehingga menyebabkan berlaku perpecahandan ketidak sefahaman berlaku. Hal ini perlu dielakkan kerana perpaduan masyarakat sangat penting dalam memastikan sesebuah negara dapat hidup dalam keadaan harmoni dan aman sejahtera. Walaupun kita hidup masyarakat yang berbilang kaum dan agama, ia tidak seharusnya menjadi asbab untuk kita berpecah belah malah kita sepatutnya bersatu padu untuk mencapai kesepakatan untuk menjadikan Malaysia negara yang contoh dalam kehidupan bermasyarakat.