Pada 21 November 2019, kelas Dinamika Malaysia telah diadakan di Masjid Sultan Ismail, UTM. Pada minggu tersebut, ia dinamakan Minggu Rahmatan Lil Alamin bersempena Maulidur Rasul. Program ini merupakan anjuran Pusat Islam UTM. Saya telah menghadiri salah satu ceramah yang diadakan pada hari demikian. Ceramah tersebut bertajuk Wacana Negara Rahmah Ummah Sejahtera. Penceramah yang menyampaikan ceramah tersebut ialah Tuan Haji Ali bin Muda. Wacana Negara Rahmah Ummah Sejahtera. Walaupun ceramah ini diadakan di masjid, namun ceramah ini boleh dihadiri oleh orang bukan Islam juga. Hal ini kerana topik ini membincangkan tentang kehidupan harmoni antara manusia yang berbagai bangsa dan agama. Selepas mendengar ceramah tersebut, saya telah mempelajari beberapa perkara. Di Bumi ini, manusia terdiri daripada pelbagai jenis bangsa dan agama. Setiap manusia mempunyai hak masing-masing. Allah Maha pemurah. Pada zaman jahiliah, kaum-kaum terdahulu diberi nikmat yang melimpah ruah walaupun mereka melakukan perkara jahil. Pada zaman sekarang juga, negara yang hidup dengan melakukan kemusnahan telah diberi nikmat yang banyak di muka Bumi ini. Ini membuktikan betapa sayangnya Allah kepada makhluknya. Bumi ini untuk semua makhluk. Setiap makhluk dikurniakan nikmat. Cara mereka menggunakan nikmat tersebut bergantung kepada mereka. Sama ada mereka menggunakan nikmat tersebut kearah kebaikan atau keburukan. Penceramah tersebut menyebut beberapa perkara tentang memelihara kesejahteraan dalam hidup bermasyarakat. Antaranya ialah di rumah ibadat, kita perlu elakkan daripada membincangkan hal politik. Setiap orang mempunyai pendirian dan pendapat yang berbeza. Apabila isu politik dibahaskan di tempat ibadat, ia boleh menyebabkan pertelingkahan di antara saudara sesame agama. Secara tidak langsung, ibadat yang dilakukan tidak mendapat keberkatan daripada Tuhan.