Pemikiran Sains dan Teknologi /
Refleksi Kursus Pemikiran Sains dan Teknologi

          Tanggapan pertama saya terhadap kursus Pemikiran Sains dan Teknologi ini ialah, mempelajari tentang hubungan antara sains dan teknologi. Tanpa sains, teknologi-teknologi tidak akan wujud. Semakin berkembang pengetahuan dalam bidang sains, semakin maju teknologi-teknologi. Penduduk di sesuatu kawasan memainkan peranan penting dalam perkembangan sains dan teknologi. Pemikiran sains dan teknologi relevan dengan bidang pengajian kerana dalam dunia yang semakin moden ini, seseorang individu perlulah mempunyai pemikiran yang mendalam tentang sains dan teknologi supaya sejajar dengan arus kehidupan pada masa ini. Saya beranggapan kursus ini memberi jangkaan manfaat dalam masa yang panjang kerana dunia yang semakin moden ini memerlukan pemikiran tentang sains dan teknologi. Saya akan memberikan komitmen dan sumbangan yang padu dalam kursus ini supaya saya menjadi orang yang berguna dalam masyarakat dan membantu membangunkan Malaysia dalam bidang sains dan teknologi.

           Alhamdulillah, terdapat banyak perkara yang telah saya pelajari daripada kursus ini. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah saya, Dr. Wan Hasan bin Wan Embong kerana telah mengajar kami dengan baik dari awal sehingga akhir. Antara topik yang telah saya pelajari ialah manusia dan pemikiran, perkembangan ilmu zaman pertengahan,agama, pemikiran  sains dan teknologi, pemikiran sains dan teknologi merentas sempadan, ekosistem keilmuan Islam, pemikiran saintifik saintis muslim, perubahan paradigma pemikiran saintis barat, pemodenan sains dan teknologi, revolusi industri dan kesannya terhadap kemanusiaan, etika dan nilai dalam pemikiran sains dan teknologi dan akhir sekali, penginsanan pemikiran sains dan teknologi.Dalam kursus ini saya dapat belajar mengenai sejarah pembangunan sains dan teknologi. Saya dapat memahami dengan baik tentang bagaimana sains dan teknologi dikembangkan dari negara ke negara disebabkan penyampaian ilmu yang sangat bagus oleh pensyarah saya. Saya suka mendengar cerita-cerita dan isu semasa yang disampaikan oleh pensyarah. Ini membuatkan saya lebih memahami apa yang saya pelajari dalam kursus ini. Pensyarah mengatakan topik terakhir adalah yang paling penting bagi pelajar komputeran Kewujudan sains dan teknologi banyak memudahkan kerja-kerja harian kita. Masyarakat di dunia dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan mudah. Walaubagaimanapun, sains dan teknologi juga boleh mengakibatkan kesan buruk kepada pembangunan negara, alam sekitar dan juga sosial. Sesetengah manusia pada zaman sekarang berlumba-lumba untuk menghasilkan teknologi yang lebih canggih sehingga tidak memikirkan hal-hal persekitaran. Kecanggihan senjata yang semakin hebat boleh menyebabkan kemusnahan yang teruk kepada alam sekitar dan boleh menyebabkan jumlah kematian yang banyak jika berlaku peperangan antara beberapa negara. Oleh itu, dalam penghasilan sains teknologi, manusia perlulah menerapkan nilai-nilai kemanusiaan agar dapat membentuk insan-insan yang maju serta berperikemanusiaan. Kesannya, kemajuan dan pembangunan dalam sains dan teknologi tidak disalahgunakan dan tidak memberikan keburukan kepada masyarakat. Manusia memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga alam ini.