REFLEKSI DARI SESI KAUNSELING DI BAITUS SOLEHA (SESI PERTAMA)

      Saya sebagai pembantu dalam sesi kaunseling berkumpulan pada sesi pertama ingin berterima kasih kepada pensyarah kami Dr. Nasir Masroom kerana memberi peluang dan kepecayaan kepada kami merasa sendiri pengalaman dalam menjalankan sesi kaunseling berkumpulan di Baitus Soleha. Disana kami memperolehi serba sedikit pengetahuan tentang masalah-masalah yang dihadapi mereka dan berkenalan serta cuba berinteraksi dengan komuniti di sana. Pengalaman ini merupakan pengalaman yang sukar untuk didapati oleh semua orang. Oleh itu, saya sangat bersyukur kerana saya merupakan antara insan-insan yang terpilih untuk mengenali dan menyantuni mereka. Sepanjang sesi kaunseling berkumpulan tersebut banyak ilmu dan pengalaman yang saya peroleh seperti ilmu berkomunikasi dengan berkesan, mempelajari cara menenangkan klien apabila emosinya tidak stabil, ilmu empati yang tinggi dan banyak lagi ilmu dan pengajaran yang bermakna yang saya peroleh sepanjang sesi. Pada sesi ini juga saya dapati bahawa ilmu kaunseling amat penting bagi setiap individu kerana setiap orang mampu menjadi pendengar dan pembantu (helper) yang baik. Oleh itu, ilmu ini perlu diperkenalkan dan dipelajari oleh semua masyarakat agar pandangan masyarakat tentang pusat kaunseling hanya untuk orang yang bermasalah dapat di hapuskan dan stigma masyarakat yang negatif terhadap orang yang mempunyai masalah seperti isu ibu terlanjur juga dapat dikurangkan sekaligus dapat memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan hidup seperti biasa tanpa perlu bersembunyi dari kehidapan masyarakat luar.