PROJEK
PROJEK BERSAMA PIHAK JABATAN PERTANIAN BATU PAHAT
Assalamualaikum saya ucapkan bagi pembuka kata tugasan refleksi projek bersama pihak Jabatan Pertanian Batu Pahat. Saya amat berbesar hati kerana projek yang diberikan oleh pensyarah sebulan yang lalu berjaya disempurnakan dengan baik. Semua ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dan kerjasama rakan kumpulan saya dan pensyarah yang terlibat iaitu Dr Hawani dan Dr Faisal.
Saya sebenarnya tidak menyangka bahawa saya berjaya menyiapkan projek ini dan dibentangkan kepada Puan Normala iaitu wakil daripada Jabatan Pertanian Batu Pahat. Pada mulanya saya dan ahli kumpulan agak ragu-ragu untuk menyiapkan projek ini kerana keadaan semasa yang menyebabkan kami hanya mampu berhubung untuk berbincang mengenai projek menggunakan platform Google Meet.
Mengenai projek ini, kami ditugaskan untuk membantu pihak DOA menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Oleh itu, kami telah memilih tajuk “Senarai Pegawai APT Mengikut Kawasan Perkhidmatan”. Kami menggunakan data yang diberikan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Dalam menyelesaikan projek ini, pembahagian tugas telah dilakukan. Setiap ahli telah dibahagikan dengan tugasan masing-masing tetapi kami tetap melakukan setiap tugasan itu bersama-sama. Walaupun setiap bahagian dilakukan bersama-sama, masalah ketika menjalankan projek itu masih ada. Misalnya, ada beberapa data koordinat yang diberikan tidak tertumpu pada kawasan yang betul. Oleh sebab itu, kami menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan koordinat yang betul. Contohnya, WGS84 Converter dan akhirnya kami mendapat koordinat di kawasan yang betul.
Apabila data yang diperolehi telah ditukarkan kepada format yang dikehendaki, saya sebagai kartografer telah memasukkan data tersebut ke dalam QGIS untuk proses membuat peta iaitu output yang akan dibentangkan kepada pensyarah dan pihak DOA. Dalam proses pembuatan peta, kami telah melakukan perjumpaan beberapa kali bagi menghasilkan output yang terbaik. Setiap ahli juga memberikan pendapat masing-masing. Akhirnya, output yang dihasilkan memuaskan hati setiap ahli kumpulan. Sebelum pembentangan dilakukan di hadapan pihak DOA, kami telah membentangkan projek di hadapan pensyarah kami terlebih dahulu dan kami menerima teguran dan telah membuat penambahbaikkan sebelum pembentangan dijalankan di hadapan Puan Normala menggunakan platform Webex.
Dengan selesainya pembentangan projek ini, ia menandakan bahawa selesainya tugasan projek yang diberikan oleh pensyarah kepada saya dan rakan-rakan yang lain. Tugasan projek ini telah memberi saya satu pengalaman baru dalam mengendalikan satu tugasan yang besar. Walaupun pada mulanya saya agak risau tetapi akhirnya saya dan rakan kumpulan berjaya menyelesaikan projek ini dan ini merupakan satu kepuasan bagi saya dan penghargaan buat pensyarah dan rakan-rakan kumpulan saya. Sekian, terima kasih.