Dalam program ini, saya telah diberi amanah dan tanggungjawab untuk menjadi pengarah program dan menjalinkan kerjasama dengan sebuah organisasi antarabangsa iaitu Universal Peace Federation (UPF) dan Lion Club Johor Bahru untuk menganjur dan mengendalikan sebuah program larian marathon amal kebajikan (charity). Program ini dibahagikan kepada 3 kategori iaitu 15km, 7km dan 3km untuk kategori fun run. Program ini dibuka kepada peserta yang terdiri daripada pelajar UTM dan juga orang awam yang berminat untuk menyertai. Larian ini dikategorikan sebagai larian amal kerana kesemua wang kutipan daripada penyertaan para peserta akan disumbangkan kepada badan-badan kebajikan yang telah dipilih oleh pihak penganjur. Hasil daripada mengendalikan program ini, saya berpendapat bahawa program ini membantu saya untuk menambah baik kebolehan saya untuk mengetuai dan memberikan arahan kepada ahli jawatankuasa yang lain. Selain itu juga, program ini memberi pengalaman yang paling berharga dan akan diingati dalam masa yang lama iaitu pengalaman bekerjasama dengan organisasi antarabangsa dan berkomunikasi dengan orang-orang yang berpengaruh untuk menjayakan program ini.